Apabila saya balik bercuti di Kelantan, kalau ada kesempatan pasti saya akan membawa anak-anak saya berkunjung ke Pantai Irama Bachok. Pantai Irama adalah tempat kenangan saya dan kawan-kawan sekampung pada sekitar tahun 1963-1966 dahulu. Di zaman inilah kami selalu berulang alik dari kampung asal saya di Jelawat ke Pantai Irama yangg jauhnya lebih kurang 7km dengan hanya berjalan kaki semata-mata untuk mandi laut.
Di Pantai Irama pada masa itu terdapat sebuah pondok kecil yang didiami oleh seorang tua dalam
lingkungan umur ’70an, semua orang menyebut dengan panggilan Tok Wi. Kalu pada hari Jumaat boleh
dikatakan rumahnya dipenuhi oleh orang-orang jauh yang datang membawa anak-anak kecil untuk diikat tangan sebagai anak angkat Tok Wi. Yang anehnya, apabila diberi duit seringgit kepadanya, beliau akan
memulang balik 50 sen, beliau akan mengambil separuh sahaja dari pemberian orang.
Pernah satu ketika apabila mendapat tahu di Pantai Irama diadakan bermacam-macam permainan sempena Puja Umur Sultan, kami terpaksa tidur di masjid Bachok kerana semata-mata nak tengok Wayang Kulit. (masa tu angin hmene ni ada dah).

Sebelah paginya kami pun memulakan perjalanan balik dengan menaiki ‘Bas Tunja’. Kami hanya bersarapan dengan air telaga yang ada di sekitar Kampung Kemudi dan Badak kerana tidak berduit. Apabila kami sampai di Kampung Tangok maka barulah kami dapat menjamu selera, iaitu dengan memakan buah kemunting yang memang banyak tumbuh di situ.
Tangok adalah sebuah kampung kecil yang terletak antara Rekang dan Rusa. Ia juga menjadi sempadan antara tanah beris dengan tanah liat. Mengikut cerita mulut orang-orang tua, Tangok juga suatu masa dulu menjadi kedai pesara tempat naik segala barangan melalui sungai untuk orang berjual beli sebelum wujudnya Kedai Jelawat. Dan tempat ini memang banyak menyimpan kenangan pahit manis kepada saya.

1. Saya hanya ingat satu peristiwa yang mana saya dibawa oleh emak saudara saya melihat orang bermain kertok kerana masa itu saya masih belum bersekolah lagi. Pada awal tahun ini saya terbaca satu catitan lama yang menerangkan bahawa pemainan kertok yang saya lihat itu ialah perlawanan kertok antara puak Tangok yang diketuai oleh Tok Penghulu Wan Seman dengan Puak Badak.
Perlawanan itu adalah perlawanan kali yang kedua, sementara perlawanan yang pertama sudahpun berlalu di Batu 19 dekat Sekolah Kebangsaan Badak.
2. Pada masa tingkatan empat, saya belajar di Sekolah Manengah Kebangsaan Bachok. Yang demikian saya terpaksa berulang alik setiap hari dengan mengayuh basikal. Pada suatu hari setelah pulang dari sekolah saya dengan Berahim (anak Umar tukang gunting Cabang Tiga Melawi). Berahim kemudiannya pulang ke rumahnya di Wakaf Mek Bunga (belakang rumah Che Amat tukang besi), tinggallah saya kesaorangan mengayuh basikal balik ke Jelawat.
Bila sampai di Tangok saya rasa suasananya tidak seperti hari-hari sebelumnya. Rumah dan kedai kopi semuanya menutup pintu. Orang yang sebelum ini selalunya lalu lalang di tepi-tepi jalan sudah tidak kelihatan lagi, dan saya mengayuh basikal perlahan-lahan sambil memerhati kiri-kanan.
Apabila saya sampai di simpang tiga saya menjadi tergamam apabila melihat seorang perempuan pertengahan umur yang duduk di atas wakaf dalam keadaan telanjang bogel menghadap ke jalanraya, Sambil memegang pisau beliau menyanyi dalam irama makyung dengan menggunakan lirik yang lucah.
Tiba-tiba mulut saya menyebut “Orang gila”..saya terus memecut basikal hingga kebawah tebing Tangok tanpa memandang kebelakang lagi.
3. Tahun 1970 masa cuti sekolah saya di bawa oleh Pak Sin Tempoyak pergi bermain makyung bertiket di Kampung Sungai Pinang Palekbang selama 4 malam. Kumpulan makyung masa itu bernama Makyung Appolo. Itulah pertama kali saya menggesek rebab tempat main makyung bertiket kerana mahu mencari pengalaman. Pada hari ketiganya sedang kami minum kopi dalam pukul 10 pagi, tiba-tiba ada orang yang baru balik dari Kota Bharu memberi tahu kami, semalam ada seseorang telah mati di Tangok kerana di tetak pada lehernya, beliau berkata drebar kereta plet yg beritahu.
Apabila sebelah petangnya barulah kami mendapat tahu yang menjadi mangsa pembunuhan itu ialah orang yang saya kenal kerana selalu pergi ke rumahnya untuk ‘pelepas angin’ palu gendang silat. Allahyarham seolah-olah seperti kawan saya juga kerana isterinya sekampung dengan saya, walaupun Allahyarham 4 tahun lebih tua dari saya. Saya menjadi serba salah pada malam itu kerana mengenangkan peristiwa tersebut.
Setelah sampai kerumah pada esoknya saya terus pergi ke Tangok. Yang saya dapat lihat darah yang begitu banyak tapi sudah dibakar orang untuk mengelak dari sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku. Mengikut cerita pada malam kejadian tersebut, datang dua orang kerumahnya mengajak Allahyarham pergi tengok dikir barat di Bukit Marak. Setelah keluar beliau ditetak pada lehernya, beliau jatuh dan meninggal di situ juga.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.