Dikatakan bahawa kemasukan gamelan melayu yang pertama ke tanah melayu ini lebih kurang pada tahun 1835 iaitu dalam masa pemerintahan Bendahara Seri Maharaja Tun Ali Pahang. Semasa berada di Riau Lingga Bendahara Tun Ali sangat tertarik dengan persembahan gamelan, membuatkan beliau telah membawa balik satu set gamelan berserta dengan seorang pemainnya yang bernama En. Basut ke istana Pekan dengan tujuan untuk mengajar permainan tersebut kepada orang2 Pahang.
Dalam masa pemerintahan Sultan Ahmad Pahang terdapat tiga kumpulan gamelan yang dikenali dengan nama Joget Pahang. Tetapi apabila baginda mangkat pada tahun 1914, tiada seorang pun waris baginda yang berminat untuk meneruskan usaha menghidupkan kesenian ini yang menyebabkan Joget Pahang telah mengalami zaman kemalapan.
Bagaimanapun usaha untuk memperkembangkan kesenian ini berpindah pula ke Trengganu melalui perkahwinan antara Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah Trengganu dengan Tengku Ampuan Mariam anak kepada Sultan Ahmad Pahang. Beberapa orang pemain muzik dari Pahang juga telah dibawa untuk melatih kumpulan gamelan Trengganu iaitu Wan Ahmad, Pak Saleh, Che Ahin dan Che Wan Namat. Diantara anak muda Trengganu yg mendapat latihan dari pemain Pahang ini yang sempat aku temui semasa mereka masih hidup dulu ialah Abdul Jabar (Pak Bar), Muhammad Ismail (Pak Mat Nobat), Tengku Cik Othman (Pak Ku Cik). Setelah mangkatnya Sultan Sulaiman pada tahun 1942 berkebetulan pula dengan penaklukan jepun di Tanah Melayu, maka kegiatan Joget Gamelan Trengganu dihentikan.
Aku bersama Pak Mat Nobat
Setelah melalui beberapa proses untuk menghidupkan balik kesenian ini, akhirnya Joget Gamelan Trengganu telah diperkenalkan di kuala lumpur sempena dengan Pesta Muzik da Drama Asia Tenggara di Universiti Malaya pada tahun 1969. Pada tahun 1970 sekali lagi Joget Gamelan Trengganu telah dibawa ke Universiti Malaya sempena dengan Temasha Seni Melayu. Di sinilah pertama kali aku menonton persembahan Joget Gamelan Trengganu kerana dalam masa yang sama aku juga menjadi perserta di dalam kumpulan Makyung Sri Temenggung dari Kelantan. Peristiwa ini pernah aku ceritakan kepada sdra Asrulfaizal yang menjadi Pegawai Kebudayaan Universiti malaya semasa aku dan beliau sedang minum di sebuah kantin bersebelahan dengan Dewan Tungku Casenlor tahun lepas.
Seingat aku, sejarah kemasukan gamelan melayu peringkat yang kedua ini bermula dalam tahun 1973 lagi apabila kumpulan SUKTRA telah membeli 1 set gamelan untuk mengganti set lama yang telah dipulangkan kepada Pahang. Semasa kepulangan almarhum guru ku dari Akedami Seni Kerawitan Indonesia pada tahun 1973, almarhum telah membawa bersama 2 set gamelan yang diperbuat dari perunggu. 1 set untuk kegunaan Kementerian Kebudayaan Belia & Sukan dan 1 set lagi adalah pesanan dari Universiti Malaya. Bermula dengan pendedahan inilah orang ramai telah mula sedar yang kita juga ada mempunyai set gamelan yang bercorak kemelayuan disamping gamelan jawa yang sudah pun ada di negeri Selangor dan Johor, dan masing2 telah menempah set2 tersebut dari jawa Indonesia kerana tidak ada pembuatnya di sini. Sehingga sekarang aku anggarkan sudah melebihi 100 set gamelan berada di negara kita yang dibeli oleh orang persaorangan, syarikat, agensi kerajaan dan swasta, universiti, maktab dan sekolah.
Sedang melaras bunyi tiupan tabung dan bilah slentem utk mendapatkan bunyi yg panjang
Berbalik kepada set yang ada di KKBS tadi, nada yang asalnya ialah pelog sedangkan nada yang terdapat dalam gamelan Trengganu/Pahang adalah Pentatonik. Untuk memenuhi kehendak itu maka set tersebut terpaksa di tiun balik untuk menjadi nada pentatonik. Bermula dari sinilah aku diajar oleh guruku bagaimana cara meniun peralatan gamelan. Dengan berbekalkan sedikit sebanyak ilmu yang ada, pada tahun 1975 aku diminta oleh En Ariff Ahmad (Dr) untuk meniun set kepunyaan Universiti Malaya.
Memang menjadi lumrah kepada peralatan gamelan yang baru dibuat, lebih2 lagi yang diperbuat daripada perunggu (campuran tembaga timah) Alat ini akan berubah nadanya menjadi lebih tinggi dan tidak menentu antara satu dengan lain apabila dimainkan selama 2 atau 3 tahun atau bergantung kepada kekerapan kita bermain. Yang demikian semua peralatan ini perlu ditiun semula supaya nadanya selaras kembali. Berlainan pula dengan set gamela yang dibuat daripada besi, alat ini akan berubah nada apabila dipukul kuat kerana peralatannya lebih nipis dan harganya murah.
Meniun gong perlu berhati2 utk mengelak dari retak atau pecah.
Bagaimana pun aku sangat terhutang budi yang tidak terhingga kepada almarhum guru ku yang telah memperturunkan ilmu pengetahuan ini kepada aku yang mana kemahiran ini hanya dimiliki oleh beberapa orang sahaja di malaysia ini. Beliau juga mendapat bimbingan dari Bapak Reso Wiguno Wirun Bekonang Surakarta. Dengan sedikit sebanyak kemahiran dan pengalaman yang ada ini, aku sudah pun meniun berpuluh2 set gamelan kepunyaan sekolah, maktab dan juga Universiti di Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Trengganu, Pahang, Perak dan Selangor.
Jasa guru tetap ku kenang.