Lokan adalah merupakan hidupan dari jenis moluska, hidup di dalam tanah berselut terutamanya di tepi sungai yang ditumbuhi oleh pokok nipah. Semasa aku di kampung dahulu, pernah juga aku mengikut orang-orang pergi mencari lokan ini. Cara mengesannya cukup mudah sekali, iaitu dengan cara mencari tempat seperti mata air keluar dari dalam selut tersebut, kadang-kadang air tersebut seperti terpancut keluar dan keadaan inilah yang dipanggil lokan kencing. Setelah keadaan begitu terjadi maka bolehlah kita menggunakan besi bengkok atau sabit untuk mencakar kawasan tersebut dan pasti sabit kita akan terkena pada satu benda keras di dalam selut. Itulah lokan.
Maksud aku di sini bukanlah hendak bercerita sangat pasal mencari lokan itu tetapi apa yang ingin aku sampaikan di sini ialah ada sejenis permainan hiburan tradisional orang tua kita di Kelantan pada zaman dahulu yang sudah pun pupus. Oleh orang tua kita dahulu disebut "Main Lokan". Sepanjang pengetahuan aku, setelah meninggalnya Senik bin Abdullah yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik Lokan, sudah tidak ada lagi orang yang mewarisi permainan ini kecuali seorang saja yg masih hidup, iaitu Pak Sin tempoyak dan aku rasa beliau pun sudah tidak dapat bermain lokan lagi sekarang ini disebabkan oleh usianya yg sudah tua.
Aku bersama Pak Sin Tempoyak semasa dalam satu upacara main peteri Januari 1981
Mengikut cerita mulut orang tua-tua di Kelantan, permainan Lokan ini bermula dari kesah Raja Bersiong yang lari dari Kedah menuju ke Kelantan. Setelah sampai disuatu tempat, baginda berehat seketika untuk menghilang penat ( Ada yang mengatakan peristiwa ini berlaku di Kuala Besar Kelantan). Di sinilah baginda mendengar suara lokan yg berbunyi seperti orang sedang menepuk tangan.
Sebenarnya permainan lokan ini tidaklah perlu kepada iringan alat muzik sebagaimana yg terdapat dlm sesetengah permainan lain, tetapi lebih kpd lakunan yg menggunakan mimik muka dan kelakuan binatang. Ia dilakunkan oleh seorang sahaja sebagai pelakun dan dibantu oleh seorang pengawas yg bertindak sebagai gembala atau jong baso. Dalam permainan tersebut pelakun tadi atau digelar sebagai pak lokan akan menggelek2 punggung sambil menepuk dadanya sebagai pengganti alat muzik dan menekup tapak tangan di mulut untuk mengeluarkan bunyi seperti lokan yg bertepuk. Gabungan paluan dada dan mulut tadi akan menghasilkan satu rentak yg tersendiri. Dalam keadaan seolah2 separuh sedar ia akan berhenti dari memukul rentak tadi dan berkelakuan seperti binatang. Dikatakan sebanyak 12 jenis binatang akan ditiru satu persatu diselang seli dgn paluan rentak tadi. Pernah aku melihat sewaktu Pak Sin Tempoyak menjadi pak lokan, semasa itu beliau berkelakuan seperti biri-biri jantan, dalam keadaan merangkak-rangkak beliau telah merempuh dinding simen beberapa kali dgn kepalanya, tp sempat ditarik oleh anaknya bernama Shafie yg menjadi gembala pada masa itu.
DVD Lokan Bertepuk terbitan Sekolah Pengajian Seni Universiti Malaysia Sabah
Dua bulan yg lalu semasa aku berbual-bual dgn Tuan Hj. Ahmad Hashim, beliau bertanya mengapa aku memakai nama samaran lokan bertepuk, lalu aku ceritakan kepadanya seperti apa yg aku cerita di atas tadi. Bermula dari sinilah beliau tertarik dgn cerita tersebut dan mencadangkan supaya diambil beberapa elemen-elemen yg terdapat di dalam permainan lokan ini untuk dilakonkan balik disamping mencungkil permainan rakyat yg telah pun pupus dan tidak diketahui lagi oleh generasi muda sekarang. Berkat usaha sdra Seni Bayan dan beberapa orang mahasiswa serta dibantu oleh aku sendiri dan beberapa orang staff bhg drama teater USM, cerita ini telah dibawa ke Festival Dekon Makum 2009 UMS Sabah utk dipertandingkan bersama dengan 10 kumpulan dari IPTA yg lain pada 15/05/2009 yg lepas.
Tahniah diucapkan kepada tenaga produksi Lokan Bertepuk yg terdiri dari Tuan Hj Ahmad Hashim, En. Omar Bidin, Sufian Sahadan, Mohd Roslan Radhi, Mohd Azim Ab Halim dan Sdra. Roslan Chin kerana telah berjaya memenangi tiga kategori anugerah iaitu Johan keseluruhan, Dekonis terbaik dan Pengarah terbaik.