Penyakit Angin.

Angin yang dimaksudkan di sini ialah satu unsur yang ada di dalam setiap diri manusia untuk menentukan pembawakan peribadi sesaorang itu. Angin ini juga menentukan keenderungan dan minat sesaorang dan berbeza pula antara satu sama lain kerana angin ini dikatakan mempunyai 190 macam (Jumlah ini ialah untuk merujuk kepada banyaknya jenis2 angin). Ada yang mempunyai angin bersilat, dikirbarat, mak yong, berjoget, menyanyi dan bemacam2 lagi. Bahkan kalau ada yang suka duduk berbual di kedai kopi setiap hari pun dikira sebagai angin juga. Yang demikian jika sesaorang itu jatuh sakit atau rasa tidak tenteram, maka salah satu cara pengubatan untuk memtenteramkan anginnya atau jiwanya ialah dengan mengadakan sesuatu, sesuai dengan keenderungannya, InsyaAllah akan sembuh penyakitnya dan kembali tenteram jiwanya. Bagi orang-orang melayu di Kelantan, Trengganu dan Selatan Thailand, main peteri adalah salah satu cara pengubatan yang menggunakan kaedah psikoterapi.  Ianya masih diamalkan sehingga kehari ini, terutamanya untuk mereka-mereka yang terkena penyakit angin.

DSC00603 

  Kelihatan seorang yang mempunyai angin pendekar.

 

Berhubung dengan inilah kalau aku balik kampung atas urusan tertentu atau bercuti dua tiga hari, maka lebih baik aku berdiam diri saja, janganlah  pergi melapur diri kepada  kawan-kawan penggiat dalam permainan peteri yg masih aktif lagi. Kalu pergi jugak, alamatnya ada lah aktiviti yg diminta supaya aku ikut serta bersama mereka. Ini terjadi semasa aku pulang bercuti sempena dgn cuti persekolahan baru ini. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa dgn seorang penggiat dlm permainan peteri, aku telah pergi ke rumahnya untuk berjumpa mata dengannya. Kebetulan pula dia tak ada di rumah kerana bawa beruk gi naik nyor. Setelah dia balik, kami berbual agak panjang juga mengenai kegiatan main peteri, beliau meluahkan perasaan kepada ku bahawa sekarang ini sudah tidak ada lagi anak muda kampung kami yg berminat hendak belajar bermain rebab. kalau hendak main peteri maka terpaksalah kesana kemari mencari pemain rebab, tapi nasib baik juga sekarang ini zaman mudah untuk berhubung antara satu dengan lain, kalau zaman sebelum ini terpaksalah mengahabiskan masa, tambang atau minyak motor untuk berhubung dgn sesaorang pemain rebab yg lain. Itu pun kalau pemain rebab itu belum ditempah oleh orang lain, kalu tidak, terpaksalah menukarkan tarikh sesuai dengan masa kekosongan pemain rebab tersebut.

DSC02566

   Abe Nor Jaafar menjadi pemain gendang peteri pada malam tersebut.

 

Dalam perbualan antara aku dan Pak Long Awang, beliau meminta aku meluangkan masa pada malam esok kerana katanya ada main peteri hendak mengubat orang sakit yg datang dari Gua Musang. Aku telah memenuhi permintaannya kerana kami berdua sama sekampung dan sudah pun biasa main peteri dengannya sejak 25 tahu yg lalu, lagi pun aku mempunyai angin jugak, sudah lama aku tak jamu angin aku dengan kesenian ini. Yang ketiganya, aku mahu melihat setakat mana kebolehan anak-anak muda di sekitar kampung aku yg dikatakan sudah mula belajar dalam bidang kesenian ini sejak beberapa tahun kebelakangan. Sewaktu aku dan beberapa kawan2 yg sebaya denganku meninggalkan kampung hampir 40 tahun yg lalu, kamilah dianggap pelapis terakhir pada waktu itu kerana selepas itu tidak ada lagi orang muda yg ingin mewarisi kegiatan kesenian ini di kampung kami, hanya tinggal golongan orang2 tua sahaja yg masih meneruskan tradisi ini. Tp apabila aku balik sekali sekala kebelakangan ini, aku mendapat berita mengatakan ramai juga dari kalangan anak muda kampung kami  yg sudah mula belajar, bahkan sudah pun diperlimaukan.

Dekat dengan kampung aku sekarang ini telah dibina sebuah bangsal tetap yang dibiayai oleh kerajaan. Yang demikian, orang sakit boleh membuat pilihan untuk bermain peteri di mana dia suka, di rumah pesakit atau di bangsal tetap. Bisanya kalau pesakit itu orang jauh, ia akan memilih bermain di bangsal itu sahaja. Tentang bayarannya pula dibuat secara pakej, iaitu pihak Tok Teri akan menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan dan pesakit hanya datang sehelai sepinggang sahaja. Pada malam tersebut, pesakit langsung tidak ada menunjukkan tindak balas di dalam semua keadaan. Bermacam2 cara jgk Tok Teri angkat angin dia pada malam tu, tapi pesakit buat bodo je. Jadi kesimpulannya pesakit tersebut bukan dari kalangan penyakit angin. Kalu pesakit yang mempunyai penyakit angin, sudah pasti dia akan bertindak apabila beteri jiwanya sudah dicas, sekurang2nya dia akan menangis.

DSC02561

 Pesakit yang bukan dari kalangan penyakit angin.

 

Pada malam keesokannya pula, atas pelawaan Paksu Agil, aku pergi pula ke kampung Wakaf, Pasir Putih tempat bermain peteri oleh kumpulan Paksu Agil pula. Tujuan aku kesana juga ialah untuk mengenali dengan lebih dekat seorang Tok Peteri yang selama ini aku hanya mendengar namanya sahaja, iaitu Datuk Deraman Polis dan memang pun beliau adalah seorang polis. Kata Paksu Agil, orang yg nak main peteri ni penyakit angin. Setiap 3 tahun sekali dia akan main peteri utk menyegarkan anginnya. Ternyata memang benar apa yg dikatakan oleh Paksu Agil, anginnya memang kuat sungguh, pantang dengar muzik dia terus bangun dan menari dan melompat sepuas2nya sehingga jatuh terduduk kerana kepenatan.  Begitulah kelakuanya beberapa kali dan ada kalanya terpaksa dipicit dan diurut badanya utk mengelak dari sesak napas.

Abe Nor Jakpar yg duduk bersebelahan aku pada masa itu membisik ditelingaku, katanya dalam satu kejadian, ada seorang pesakit yg lebih kurang beginilah keadaannya, tidak dapat kontrol anginnya, menari dan melompat sehingga menjadi sesak napas. Pada keesokan harinya dia mendapat berita pesakit itu telah meninggal dunia. Betul juga pesanan orang-orang tua kita dahulu supaya segala tindak tanduk yang kita lakukan janganlah telampau ikut angin sangat. Lakukanlah hanya sekadar untuk pelepas angin sahaja.

DSC02585

Pesakit dengan ayam panggang ketika angin Hala sambil diperhati oleh Datuk Deraman.

 

Apabila disambut dengan lagu Hala, pesakit terus menghenjutkan tubuh mengikut rentak muzik lagu Hala yg dimainkan oleh Abe Nor Jaafar. Kadang2 pesakit menghadap kepada ayam panggang yg disediakan seolah2 seperti seekor harimau yg hendak menerkam sesuatu. Oleh kerana aku sudah biasa sangat dengan perlakuan pesakit seperti ini ketika lagu Hala dimainkan, maka perkara2 begini sudah tidak menghairankan aku lagi
.

Tetapi apa yg lebih mengahairankan aku pula ialah macam manakah ada satu rentak yg dimainkan dalam dikir barat sekarang ini dipanggil lagu Hala, sedangkan rentak tersebut langsung tidak sama dengan aku, Abe Nor Jaafar dan pemain2 gendang peteri lain mainkan?… mengapa terjadi demikian?..Adakah mereka “Pakai Sebut Sesuka Hati” tanpa merujuk kepada lagu sebenar…..Betullah apa yg diucapkan oleh Abe Nor kepada aku. Katanya “Apabila kita masuk belajar dan main sendiri, barulah kita tahu bagaimana payahnya muga ni”.

Pada malam itu bukan sahaja melibatkan pesakit seorang sahaja, tetapi  penyakit angin telah menular kepada orang luar kecik besar tua muda yang datang menonton, menyebabkan bangal peteri dipenuhi oleh orang luar yang masuk menari bersama dengan pesakit, termasuk ahli keluarga pesakit sendiri.

DSC02578

  Penonton dan orang luar yang sama-sama masuk menari kerana sudah ttijok angin.

 

Setelah pesakit sudah berpuas hati dengan acara pada malam tersebut, akhirnya ia pun dipersenangkan anginnya oleh Datuk Rahman Polis yang menjadi Tok Peteri pada malam tersebut. Main Peteri tamat lebih kurang jam 3.15 pagi. Ketika melangkah keluar kira-kira 10 meter dari bangsal untuk pulang , aku terserempak dengan seekor anak ayam mati dalam keadaan terpenyet. Sahlah anak ayam itu mati akibat dipijak oleh orang ramai yang datang menonton main peteri…kesian kat anak ayam yang menjadi mangsa penyakit angin..

Memburu Ilmu

Semasa aku balik bercuti di kampung sekarang ini kerana memenuhi undangan majlis walimatulurus dari keluarga dan sahabat handai, sempatlah juga aku mengambil peluang yg ada untuk menimba lagi ilmu untuk menambah pengetahuan ku di dalam bidang muzik tradisional. Semasa guruku masih hidup beliau selalu berpesan supaya jangan berasa cukup dengan apa yg kita sudah ada. Mungkin hari ini kita berasa cukup dan bermegah dgn apa yg kita ada sekarang. Dalam masa yg sama kita sudah terlepas pandang kerana  masih ada lagi orang yang lebih kemas dan berpengalaman dari kita. Berpandu kpd nasihat inilah aku telah pergi ke sebuah rumah di Teluk Renjuna berdekatan dengan muara sungai Kelantan untuk menimba sedikit sebanyak ilmu pengetahuan yg aku belum ada atau sekurang2nya memperbetulkan lagi apa yg aku sudah ada.

DSC02605

  Kampung Telok Renjuna

Pada hari Isnin 8hb jun aku telah pergi ke rumah Pak Su Agil yang mana 2 hari sebelum itu aku sudah pun bertandang ke rumahnya bersama Nuar Cendawan. Pak Su Agil memberitahu aku bahawa dia dan Nuar Beta akan pergi ke rumah Deraman Pulau untuk memperdalami ilmu pergendangan Mak yong lagi dan beliau juga mempelawa aku supaya ikut serta. Kira2 pukul 6.30 ptg, aku, Pak Su Agil dan Nuar Beta pun bertolak dari kampung Lepah menuju ke jeti pengkalan Kok Majid. Sampai kami di sana, Deraman Pulau telah siap menunggu kedatangan kami kerana kebetulan Deraman Pulau juga mempunyai bot sendiri yg digunakan utk membawa penumpang dari jeti Kok Majid ke Teluk Renjuna. Sebenarnya aku  mengenali Deraman sudah lama.  Beliau adalah “Jong Gendang Ilir” dan satu-satunya murid pergendangan kepada gemulah Mat birat Tawang dan aku juga daripada titisan Mak Yong Tawang juga asalnya (Bukan Titis Sakti), jadi cara pembawakan gaya pergendangannya agak sama dengan walaupun sejak kebelakangan ini aku juga menggunakan gaya pergendangan Pak Adik Cabang Empat Tok Mek Ngah.

DSC02592

  Berada dalam bot sangkut sedang menuju ke Telok Renjuna.

Lebih kurang pukul 7.45 malam Che Amat Bunuhan pula sampai, kami pun terus menaiki bot dalam keadaan hujan renyai2, tp sayangnya kami tidak dapat melihat keindahan alam semulajadi sewaktu berada di tengah sungai kerana hari sudah malam. Lebih kurang 20 minit perjalanan kami pun sampai ke rumah Deraman yg terletak kira-kira tak jauh dari muara sungai Kelantan. Kami kemudiannya dijamu dengan nasi yg berlaukkan ikan kering istimewa. IMenurut Deraman, ikan kering buatan kampung tersebut memang masyhur, sehingga kalau yg gred A biasa dijual dengan harga rm 50.00 sekilo.

Selesai makan malam, kami pun memulakan kuliah dengan lagu Yong. Sebelum ini pun Nuar dan Agil selalu memberitahu aku bahawa lagu Yong yg aku pernah ajar kepada mereka tidak sama harakatnya jika hendak dibandingkan dengan Yong yg dipalu oleh Deraman puak2 pak Had, sebab mengikut apa yg aku belajar, apabila habis sahaja 2 kali gong terus masuk ke sumbang ibu sedangkan apa yg ceritakan oleh oleh mereka pula, jumlah gongnya sebanyak 5 kali. Inilah salah satu sebab mengapa aku beriya-iya sgt hendak ikut serta pergi ke sana pada petang tersebut. Sekurang-kurang aku dapat jalan penyelesaiannya mengapa terjadi demikian. Setelah dicuba beberapa kali ternyata aku dan Deraman dapat bermain dengan cukup jumlah gongnya. Rupa2nya yg menjadi perkadasan antara mereka sebelum ini ialah silap faham dan dari segi penyampaiannya saja. Bagi orang lama seperti Deraman, apabila disebut dgn nama lagu Yong maka bagi mereka ialah lagu Yong Makyong kerana itulah yang terdapat dalam versi mak yong Kelantan asli, sedangkan Nuar dan Agil pula menganggapkan lagu Yong Peran, kerana kebanyakan penggiat muda sekarang ini belum didedah dengan lagu Yong Makyong.  Memanglah apabila gendang ibu membawa Yong Makyong dan gendang anak pula mengikut dgn Yong Peran maka sampai bila pun tidak akan terjumpa titik noktahnya….Dah selesai satu masaalah.

DSC02593

  Deraman sedang menerang sesuatu kepada kami.

 

Apabila masuk kepada lagu yang kedua, terdapat pula sedikit perkadasan antara paten Deraman dengan paten yang kami pakai selama ini. Yang dapat aku buat ialah dengan mencatit terlebih dahulu paten pergendangannya sebagai simpanan untuk dibuat kajian terlebih dahulu sebelum ianya dipraktikkan. Aku berkata demikian kerana sepanjang pemerhatian aku pada malam tersebut paten yang diajar kepada kami selalu berubah2. Mungkin beliau tidak dapat hendak  menunjukkan kepada kami secara tetap kerana biasa dengan bermain gaya bebas atau mungkin beliau tenggelam punca. Yang demikian aku terpaksa  mengambil sedikit masa lagi utk membuat perbandingan dengan apa yang beliau main dulu, kini dan selepas ini.untuk dibuat kesimpulan.

Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Kami bermohon diri utk pulang ke rumah masing2. Deraman dan isterinya sekali lagi menghantar kami dengan bot sangkutnya ke jeti Kok Majid. Beliau berjanji akan memanggil kami sekali lagi untuk siri penerangan seterusnya. Dalam keadaan malam yang hening, kami meninggalkan kampung Telok Renjuna dengan harapan akan datang semula pada suatu masa nanti kalau diizinkan tuhan.

Selamat tinggal Telok Renjuna.