Tari Inai

Sebuah lagi tarian tradisional Kelantan yang hampir pupus sekarang ini ialah Tari Inai. Bagi mereka yang tidak tahu, akan merasakan bahawa Tari Inai sama dengan Terinai. Sebenarnya antara Tari Inai dan Terinai ini mempunyai perbezaan walaupun ada kemungkinan berasal dari sebutan perkataan yang sama, cuma mengikut loghat sebutan negeri masing-masing. Terinai ialah sebuah tarian tradisi negeri Perlis sedangkan Tari Inai pula berasal dari Kelantan.

Pak Mail Tari Inai

Pak Mail penari Terinai dan Tok Selampit  dari negeri Perlis Indera Kayangan.

Dikatakan bahawa Tari Inai ini bermula di zaman pemerintahan sultan Muhammad l lagi yang diadaptasi  dari gerak tari dalam seni silat tari, bagaimanapun ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari tarian mak yong. Aku sendiri berpendapat bahawa asal Tari Inai ini daripada silat tari, cuma kalau ada unsur Mak Yong pun dimasukkan dalam bahagian kedua yang ada mempunyai ciri-ciri tari ragam. Pertama, bentuk tarinya seakan-akan tari silat dan yang kedua, Tari Inai ini asalnya ditarikan oleh orang laki-laki (tp semenjak kebelakangan ini ada juga ditarikan oleh penari wanita). Begitu juga dengan nama Tari Inai itu sendiri diambil sempena dengan nama daun inai yang diguna oleh orang-orang melayu untuk ditempek pada jari tangan dan kaki sempena dengan majlis perkahwinan (Berinai pengantin). Lahirnya nama tersebut kerana didalam acara “Bekwoh” atau kenduri yang dibuat secara besar2an oleh orang Kelantan yang berada/kaya pada zaman dahulu mestilah mengandungi 3 acara yang menjadi pelengkap kepada majlis tersebut, “iaitu Berarak Inai, Tari Inai dan Pantun Inai”. Aku masih ingat lagi semasa aku kecil dahulu ada sebuah kumpulan Berarak Inai yang diketuai oleh gemulah Pak Sin Tempoyak yang pada masa itu dikenali dengan nama Hussin Tok Bageh. Diantara peralatan yang aku ingat ialah replika keris, lembing, tombak kayu dan  sarung harimau yang dibuat daripada kain.

Sejarah aku mula2 mendengar lagu Tari Inai ialah semasa aku didalam kuliah pergendangan  pada tahun 1968. Pada masa itu arwah guruku telah membawa balik seorang tua yang berumur dalam lingkungan “80an kerumahnya untuk diperdengarkan kepada kami lagu Tari Inai. Orang tua ini yang dipanggil Pak Muda Tegayung kerana beliau tinggal di kampung Tegayung Pauh Lima. Mengikut cerita guru aku,  Pak Muda Tegayung ini adalah salah seorang peniup serunai dalam kampung Temenggung sebelum perang jepun dahulu. Maka tidak hairanlah kalau beliau boleh menceritakan kepada kami tentang lagu2 lama yang selalu dimainkan di istana pada masa dahulu. Diantara nama2 lagu yang diberitahu kepada kami ialah Itek mandi, Masuk Kuala, Raja Berangkat, Asyek siam, Kunang Bunga, Inai lekon dan Inai sasang dan ada lagi yang aku sendiri pun telah lupa tajuk lagunya. Tapi sayangnya waktu itu beliau sudah tidak dapat hendak mengingatkan balik kebanyakan lagu2 tersebut kerana berpuluh2 tahun sudah tidak memainkan nya semenjak keluar dari kampung Temenggung. Lagu yang beliau masih ingat pun sudah ditiup dengan terhenti-henti disebabkan angin tiupannya tidak segagah dahulu dan jari jemari pun sudah kaku. Bagaimanapun aku berterima kasih kepadanya kerana banyak juga pengetahuan yang aku dapat darinya, Pak Nawi Jusoh Istana Budaya mungkin ingat lagi akan peristiwa ini kerana beliau ada bersama2 kami  pada waktu itu dan kalau tak silap aku, Pak Nawi lah orang pertama antara kami yang mendapat maklumat tentang Pak Muda Tegayung.

Oleh kerana aku bukan seorang penari Inai, maka tidak dapatlah aku hendak menghuraikan bentuk tari dan bunga ragamnya dengan terperinci, cuma apa yang aku tahu Tari Inai ini boleh ditarikan oleh seorang atau lebih di dalam satu masa. Mengenai pakaiannya pula, samalah seperti pakaian pak yong  di dalam permainan mak yong. Tetapi mengikut cerita dari gemulah Pak Nik Man, pakaian penari inai zaman dahulu adalah terdiri dari baju, seluar, kain samping, bengkong dan setangan iseh. Perubahan pakaian ini dikatakan bermula pada zaman pemerintahan Sultan Ismail. Seperkara lagi yang sudah tidak dipakai oleh penari inai sekarang ini ialah canggar, iaitu sejenis sarung kuku yang  dibuat daripada logam hujungnya halus melengkung keatas sama seperti yang dipakai oleh pak sitong dalam permainan menora.

Terdapat satu keistimewaan yang ada pada Tari Inai ini ialah apabila selesai saja menari, muzik pun akan memainkan lagu “Berjalan”. Pada masa ini para hadirin atau sesiapa saja boleh meletak duit di atas lantai dengan tujuan untuk melihat kecekapan penari meliuk tubuh dan berjalan mengguna tangan dan kaki secara terbalik sambil memungut duit dengan menggunakan mulut. Apa yang pernah aku saksikan sekarang ini duit yang dipungut itu adalah duit kertas yang sudah dilipat, dan pada bahagian penjurunya dilipat supaya terpacak keatas sedikit. Lipatan demikian untuk memudahkan  penari memungutnya nanti. Kalu zaman dahulu, duit yang diletakkan di atas lantai itu adalah duit syiling, ini memerlukan kemahiran yang cukup untuk mengambil duit syiling tersebut. Pernah juga diceritakan kepada ku oleh Gemulah Ayah Mat Menara (Seorang dalang wayang kulit dan penari Inai ) sesaorang penari inai akan dianggap handal apabila dapat menari sambil berjalan di atas tali rotan yang diregang.

Tari Inai

Seorang penari Inai sedang meliuk tubuh untuk mengambil duit dengan mulut.

Mengenai muziknya pula, mengikut apa yang aku pernah belajar dengan gemulah Pakcu Abu (Wee Beng Cheng), setiap pusingan lagu Tari Inai mengandungi 6 kali gong, iaitu 3kali gong anak dan 3kali gong ibu. sehabisnya paluan gong yang ke 6 maka barulah gong anak digandakan untuk menamatkan satu pusingan lagu. Atau dalam kiraan bar muzik setiap lagu Tari Inai mengandungi 28 bar semuanya. Jumlah kiraan gong atau panjang pendek lagu yang aku terangkan di sini samalah dengan apa yang pernah dimainkan oleh Nuar Beta, gemulah Paksu Umar tua Cabang Empat dan beberapa siri rakaman tari inai dulu2 yang aku sendiri pun tidak tahu siapa pemainnya. Cuma dari segi menggayakan lagu atau bunga2 lagu sahaja mengikut cara masing2, tetapi rangka lagu tetap sama.

Pemuzik Tari Inai

Pemuzik Tari Inai: Baisah, Kamarul Bahari, Anuar, Aku, dan Pak Mail .

Namun begitu ada juga yang memberitahu kepada aku bahawa setiap pusingan lagu Tari Inai ini hanya mengandungi 4 kali gong sahaja. Aku pun malas nak bertanya balik kepada mereka2 yang berkata demikian, cuma di dalam hati aku sahaja yang tertanya2 “Mengapa terjadi demikian? atau mungkin ada sesuatu yang menyebabkan terjadi demikian, atau pun lagu ini mempunyai dua versi”. padahal lagu Tari Inai pun sama juga dengan lagu2 lain yang sudah ada penetapan panjang pendeknya dari dahulu lagi. Dua bulan yang lepas, seorang pemain gendang veteran dari Pasir Mas Kelantan datang ke tempat aku kerana menghantar anaknya yang dapat masuk Universiti. Sambil berborak beliau bertanya kapada aku berapakah jumlah gong yang sebenarnya di dalam satu pusingan lagu Tari Inai, lalu aku mengatakan bahawa apa yang aku tahu ialah sebanyak 6 kali. Menurut beliau, di Kelantan sendiri pun ada yang tidak bersependapat mengenai hal ini semenjak pemain-pemain lama sudah tidak ada lagi.

B
eberapa tahun yang lalu, Tari Inai ini telah dibengkelkan  dengan tujuan untuk mendedahkan tarian ini kepada generasi baru. Sempena dengan bengkel tersebut Nuar Beta mengajak aku pergi ke bengkel tersebut kerana mahu berjumpa mata dengan orang2 yang didatang khas untuk itu kerana kebetulan pada hari tersebut aku berada di rumah Nuar Beta.  Sepanjang pemerhatian kami di dalam bengkel tersebut, pusingan lagu yang dimainkan semasa latihan sentiasa berubah-rubah, kadang2 3kali gong, kadang2 4kali gong. Aku dan Nuar saling berpandangan tapi kami tetap membisu kerana lagu Tari Inai yang dimain oleh Nuar dan aku sama saja, iaitu 6 kali gong.

Seminggu selepas itu, aku difahamkan bahawa terdapat juga rungutan dari peserta semasa sesi latihan tersebut. Apa tidaknya, apabila pelajar bertanyakan kepada pengajar mengapa pergerakan tarinya selalu saja  berubah2, ada yang 3 kali gong, 4 kali untuk setiap pusingan. Pengajar hanya menjawab “Ikut saja apa yang saya buat”  tanpa memberi penerangan mengapa terjadi demikian. Kalaulah begini jadinya secara berterusan, maka aku rasa agak susah kita hendak kembangkan kepda peringkat yang lebih tinggi lagi, apa lagi kalau menyentuh dalam hal yang berkaitan dengan teorinya.

Mantra Buana

 

matrabuana 

Program Penang Mantra Buana 2009 merupakan sebuah persembahan pentas yang mempunyai pengisian persembahan-persembahan Melayu bercorak tradisional melibatkan dua buah wilayah, iaitu wilayah utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan wilayah timur (Kelantan).

“Mantra” bermaksud dimensi yang merujuk kepada bentuk persembahan tradisional Melayu yang terdapat dalam beberapa jenis, seperti tarian, penglipularaan, persembahan kumpulan (samaada dalam bentuk muzik, pergerakan atau gestura badan) dan permainan bayang (wayang kulit). Beberapa contoh yang boleh menggambarkan dimensi-dimensi ini adalah seperti tarian Terinai, Hadrah, Awang Batil, Kumpulan Gendang Keling, Wayang Kulit Gedek, Boria, Tarian Joghee, Dikir Barat, Mak Yong, Tarik Selampit dan Wayang Kulit Kelantan.

Mantra ini pula boleh berbeza mengikut demografi sesuatu tempat. Hal ini disebabkan oleh persekitaranmanusia yang mempengaruhi pemikiran, falsafah, adat atu kepercayaan penduduk sesuatu kawasan serta budaya yang lazimnya juga sedikit berbeza, malah mungkin berbeza sama sekali. Mantra juga boleh mewakili kenegerian (Dalam konteks negeri-negeri yang terdapat dalam negara Malaysia) atau mewakili arah mata angin seperti utara, selatan, timur dan barat.

Manakala perkataan “Buana” pula membawa maksud alam semesta/alam sejagat/dunia. Kombinasi dua perkataan ini membentuk Mantra Buana dan didefinisikan sebagai dimensi persembahan tradisional melayu.

star

  Keratan akhbar The Star 11 Julai 2009

Di dalam pementasan tradisional yang berlangsung selama dua malam tersebut, aku rasa kebanyakannya sudah pun ditulis orang mengenai pengenalan, asal usul dan bentuk persembahan. Cuma apa yang aku utarakan di sini ialah sejenis persembahan tradisional yang sangat susah sekali untuk mendengarnya   sekarang ini apa lagi hendak menontonnya. Persembahan yang aku maksudkan di sini ialah Selampit.

Selampit ialah satu bentuk penuturan cerita oleh seorang penglipulara yang sama kategorinya dengan Awang Batil, Awang Belanga dari Perlis. Di Malaysia ada terdapat dua bentuk penuturan cerita penglipulara ini yang kedua-duanya menggunakan nama selampit, iaitu selampit Perlis dan selampit Kelantan. Perbezaan antara kedua-dua selampit ini ialah;

1.  Selampit Perlis – cara penyampaiannya berbentuk seperti gurindam dan seloka. Sekali aku dengar macam karut patani dalam dikir barat. Disepanjang persembahannya hendaklah sentiasa ada asap kemenyan yg berkepul-kepul. Tidak menggunakan sebarang alat muzik iringan, hanya cukup dengan seorang pembantu yang bertugas menjaga tempat perbara supaya sentiasa berasap. Tapi sayangnya permainan Selampit Perlis telah terkubur setelah mati penggiatnya yang terakhir iaitu Pak Mail kalau tak silap aku pada awal tahun ‘90an dahulu.

2.    Selampit Kelantan – cara penyampaiannya berbentuk nyanyian dan bahasa yang bersajak dan diiringi dengan gesekan rebab yang dimainkan oleh Tok Selampit itu sendiri. Selampit Kelantan juga ikut terkubur setelah matinya pelapis yang terakhir pada akhir tahun ‘90an dahulu iaitu Mat Nor Awang (Pak Da Nor).

Bagi orang-orang tua di Kelantan, persembahan ini dipanggil “Tarik Selampit”. Perkataan “Tarik” bererti mengalunkan sesebuah lagu. Perkataan ini bukan sahaja diguna oleh orang-orang tua di Kelantan sahaja, malah ianya diguna juga oleh orang-orang tua di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan maksud yang sama. Bahkan didalam teater bangsawan pun jika terdapat alunan nyanyian yang membawa kepada perasaan sedih dan pilu, ia juga disebut sebagai “Tarik Nasib”.

Selampit pula bermaksud menyampaikan cerita atau perihal. Mengikut cerita orang dahulu kala, asal selampit ini bermula dari kesah seorang raja yang baru mendapat seorang putera laki-laki yang cantik dengan permaisuri tuanya, menyebabkan isteri muda telah mengupah nujum supaya mengkhabarkan kepada raja yang putera itu sangat celaka dan hendaklah dibuang ke hutan. Semasa berada dalam buangan inilah kulit putera itu telah ditumbuhi oleh kudis kerapu yang menyebabkan putera ini berjalan keluar ke kedai bugih kedai pesara di negeri Seranting Jatuh Segedung Dua untuk meminta sedekah. Sambil menggesek rebab sambil menyanyi ia menceritakan kesah dirinya dari awal hingga dia terjadi demikian. Oleh orang ramai yang mendengarkan rintihan tadi memanggil putera itu sebagai “Budak Selampit” iaitu budak yang menceritakan kesah-kesah dan kejadian.

Kalu Mak Yong mempunyai cerita tonggaknya iaitu Dewa Muda, Wayang kulit mempunyai cerita Seri Rama, maka riwayat Budak Selampit ini pula menjadi cerita tonggak didalam persembahan Tarik Selampit yang lebih dikenali dengan nama cerita Selampit atau Awang Selampit, disamping cerita – cerita yang lain seperti Raja Dera, Megat Si Gembang, Awang Lutong dan lain lagi.

Wallahua’lam.

Belasungkawa I

Pak Sin Tempoyak atau nama sebenarnya Hashim bin Mamat dilahirkan di kampung Tempoyak Bekelam Bachok Kelantan pada tahun 1924 dan dibesarkan di Kedai lalat (nama lama kg. Kota Jembar). Pernah belajar di Pondok Pauh Panji sebelum perang jepun. Disamping belajar agama, Pak Sin juga belajar bersilat dari guru agamanya iaitu Hj Hussin Pancur. Selepas itu beliau telah mengembara ke serata tempat untuk memperdalami ilmu persilatan dan bermacam2 lagi. Pak Sin pernah mencerita kepada aku, semasa beliau sedang menuntut ilmu Hakikat Perang di Wilayah Narathiwat Selatan Thailand, telah meletus pertempuran antara orang-orang melayu dengan sepasukan polis siam yang dikenali sebagai “Perang Dusun Nyiur” pada bulan april 1948. Kalau tak silap ingatan aku, Pak Sin mengatakan sewaktu itu beliau berada di rumah Hj Mat Karang.  Dalam asakan peluru senapang yang tidak mengenal kawan atau lawan dan asap yang berkepul2 selama sehari setengah itu,  Pak Sin telah diberi tugas keluar ke halaman rumah untuk mengambil mayat dan pejuang-pejuang melayu yang tercedera, tetapi Pak Sin telah diberi amaran supaya tidak melintasi sempadan yang sudah ditetapkan untuk mengelak daripada terkena peluru musuh. Dikatakan dalam tragedi tersebut dianggarkan seramai 400 orang melayu dan 30 polis siam telah terkorban. Tp ada juga aku terbaca di dalam satu sumber mengatakan lebih dari 1,000 orang melayu yg terkorban. Wallahualam….

DSC02621

  Hashim bin Mamat @Pak Sin Tempoyak (1924 – 2009).

 

Apabila kembali ke Kelantan dalam tahun 1953, Pak Sin mula belajar ilmu permainan bageh dgn Pak Da Yasin, iaitu sejenis ilmu pengubatan tradisional, sehingga pada masa itu Pak Sin dikenali dengan panggilan “Hussin Tok Bageh”. Sebenarnya minat Pak Sin kepada macam-macam permainan tradisional ini sebelum itu lagi. Kemudian Pak Sin belajar pula bermain Peteri dengan seorang perempuan yang tinggal di Bukit Marak. Pada peringkat permulaanya Pak Sin bergabung dengan peteri Limah Anak Rimau Babong kerana memandangkan Limah seorang perempuan yang sudah tentu tidak dapat melayan pesakit yang mempunyai angin silat. Tambah lagi Pak Sin dan Limah mempunyai pertalian keluarga yang dekat. Mengikut apa yang diceritakan oleh Pak Long Awang kepada aku, oleh kerana banyak tempahan-tempahan pihak orang sakit yang berkehendakkan kepada Pak Sin untuk main peteri pada masa itu, maka kadang-kadang upacara bageh dibuat pada siang hari dan main peteri dilakukan pada malamnya.

Disamping itu juga Pak Sin ada mempunyai kumpulan kertok, ulek banda, berarak inai dan berbagai lagi. Dalam bidang persilatan pula, Pak Sin terkenal dengan tahan sakit dan kepala keras. Dalam pertengahan tahun ‘"’60an dulu, iaitu  semasa aku masih di sekolah rendah, pernah aku menyaksi beberapa kali beliau bersilat dengan regunya yg bernama Mat Hasaan. Dalam kenakalan beliau bersilat, Pak San akan melambung batu bata dan ditanduk oleh Pak Sin dengan kepalanya.

Sebenarnya banyak sekali keunikan yang ada pada beliau dan memang diketahui oleh masyarakat umum, tetapi aku malas nak ceritakan di sini banyak-banyak. Teringat aku satu peristiwa yg berlaku 28 tahun yg lalu iaitu sewaktu beliau menyampaikan “Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian” kepada salah seorang budak kampung aku. Ditetaknya budak kampung aku dengan sebilah pisau menyebabkan aku lari masuk bilik kerana ngeri melihatnya. Kalau beginilah cara penyampaian ijazah di dalam acara konvokesyen di universiti sekarang ini, aku rasa habis bertaburanlah graduan-graduan  lari keluar dewan. hehehe….

 DSC02627

 

Untuk diri aku sendiri pula, banyak juga pengalaman dan pengetahuan yang aku dapat dari beliau sewaktu aku mengikuti kumpulan peteri Pak Sin dahulu, walaupun hanya sekali sekala. Apa yang aku tidak dapat lupakan sehingga ke hari ini antara aku dan Pak Sin ialah beliau orang yang pertama membawa aku bermain mak yong bertiket dgn tujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada aku. Tempatnya di kampung Kok Jerat Sg. Pinang Tumpat.  Dalam kesempatan ini juga aku boleh belajar dgn Dolah Kubang Telaga. Aku masih ingat lagi Pak Sin menamakan kumpulan mak yong tersebut dengan nama “Mak Yong Hussin Appolo” sempena dengan nama roket Apollo yang berjaya mendarat di bulan dan menjadi bahan perbualan hangat masyarakat kampung pada waktu itu.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar seorang tokoh dan penggiat yang sangat berpengalaman dan berpengatahuan dalam dunia perubatan tradisional, kebudayaan dan kesenian melayu Kelantan. Semoga rohnya di tempatkan oleh Allah bersama-sama dengan roh orang-orang yang beriman. Amin.