Awang Lutong

Atas permintakan Sang Saka Wiraguna, setelah beliau mendengar rakaman lagu Awang Lutong dinyanyikan oleh gemulah Tok Penghulu Che Man Gabus Tok Uban, aku cuba menceritakan sedaya mungkin yg boleh mengenai tajuk diatas mengikut pengetahuan aku yang terhad ini.

Awe Lutong @Awang Lutong adalah sebuah cerita rakyat Kelantan yang sebaris dengan cerita-cerita lain seperti Budak Selampit, Raja Dera, Megat Si Gambang, Anak Raja Tujuh Beradik, Mek Pitis Sekepeng dll yang diceritakan kepada pendengar melalui permainan ‘Tarik Selampit’. Cerita Awang Lutong yang mengisahkan Pak Miskin dgn Mak Miskin pergi mencari kayu di hutan, oleh kerana terlampau haus air, lalu Mak Miskin pun meminum air yg bertakung di dalam lopak bekas tapak gajah.  Selepas meminum air tersebut, perut Mak Miskin membesar dan beberapa bulan kemudian Mak Miskin pun bersalin seorang bayi yang menyerupai lutong. Oleh Mak Miskin, lalu bayi itu pun diberi nama Awang Lutong….

Hugh Clifford pernah menulis, semasa beliau berada di Pahang, beliau pernah menulis cerita Awang Lutong melalui penuturan seorang peran Mak Yong dan tukang cerita (Tok Selampit) dari Kelantan yang merantau ke Pahang.bersama dengan kumpulanya kerana bermain mak yong di Pahang.  Tok Selampit itu bernama Saleh atau panggilan singkatnya ialah ‘Leh’. Tulisan cerita tersebut ditulis sebanyak 60 helai kertas dan mengambil masa selama dua minggu. Setelah Leh dan kumpulan mak yong nya pulang ke Kelantan, tak lama kemudian beliau telah dilantik oleh raja sebagai ketua permainan raja. Oleh kerana Leh mempunyai bermacam-macam kebolehan disertai pula dengan rupanya yang segak, maka dia telah menjadi rebutan ramai perempuan-perempuan di sekitar Kota Bharu, bahkan dikatakan ada yang berbalah laki bini akibat cemburu kepada Leh.

Nak jadikan cerita, pada suatu malam, semasa Leh sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya seorang diri sambil menyanyi lagu Awang Lutong, tiba-tiba dia telah ditikam curi dari arah belakang dengan lembing oleh tiga orang yang tidak dikenali. Dikatakan tempat Leh kena bunuh itu ialah di kawasan tapak Pasar Buluh Kubu Kota Bharu sekarang ini……. Hok aku nak royaknya, pada akhir abad kesembilan belas dulu, lagu Awe Lutong sudah ada doh dan telah pun dinyanyikan. Pada zaman aku budak dulu ditahun2 ‘60an pun lagu Awe Lutong ni biasa aku dengar dinyanyi oleh orang2 kampung sambil2 dok tunggu benih padi baru tabur, atau aktiviti lain sambil2 nak buat hilang boring…antara liriknya ialah:

 

Ala awe….. awe lutong

Awe lutong bejalan kaki tiga   

                                                        

Yang aku pernah dengar masa zaman budak2 dulu dan yang dinyanyikan oleh gemulah Tok Penghulu Che Man pada tahun 1995, iramanya samalah seperti irama lagu wau bulan dalam dikir barat. Persoalannya ialah:

1.  Adakah penciptaan irama lagu wau bulan itu ditiru  dari irama lagu Awe Lutong yang dinyanyi oleh ‘Leh’ dengan hanya menukar liriknya sahaja….

2.  Adakah orang-orang terkemudian yang menyanyi lagu Awe Lutong itu telah terpengaruh dengan irama Wau Bulan, lalu dipinjam irama tersebut dan dipadankan dengan lirik Awe Lutong…sebagaimana ada orang membuat lirik “Ala lenggeee lengge kangkong…lengge kangkong tepi telaga” yang ditiru dari lagu Awe Lutong.  Aku sendiri pun tidak tergerak hati untuk bertanya kepada gemulah ni waktu tu takut2 dia buleh cerita, padahal aku pun ada sekali malam tu dok tengok dia mmain..

Untitled-10                                  Salah satu persembahan dikir barat dalam tahun 1960

Yang menjadi masaalahnya, tiada siapa pun yang masih lagi hidup sekarang ini dan pernah mendengar irama lagu Awe Lutong yang sebenar, iaitu yang di nyanyi sebelum terciptanya lagu wau bulan (irama yang dinyanyi oleh Leh)…. Bagaimanapun aku percaya saki baki penggiat dikir barat yang bergiat pada akhir tahun ‘50an atau awal ‘60an mungkin ada lagi yang masih hidup untuk dirujuk bagi membantu menyelesaikan persoalan ini….tp bila dan siapa yg berminat untuk tujuan itu??…

Lenggang Beringin.

Kalau dilihat kepada babak Dalang Muda yang dilakonkan dalam persembahan wayang kulit Kelantan, maka dapat kita bahagikan kepada tiga bahagian babak yang telah dicantumkan menjadi satu, walaupun tidak terdapat kaitan cerita di antara babak-babak tersebut. Dan ini telah menjadi pakem atau aturan yang telah ditetapkan dari dahulu lagi untuk setiap babak Dalang Muda.

Tujuan sebenarnya dimasukkan ketiga-tiga babak ini kedalam persembahan wayang kulit Kelantan antaranya ialah:

1. Untuk memberi ruang kepada dalang pelatih supaya membiasakan diri berdepan dengan khalayak. Dalam babak ini juga terdapat asas pergerakan untuk watak halus dan watak kasar, asas pelari dalam peperangan, pengucapan, dialog dan nyanyian.

2. Memohon kesejahteraan untuk kehidupan seluruh alam dunia sanking maya mercapada bumi lemang tanah yang rata-rata.

3. Bermula segala pergerakan dan aktiviti yang ada di dunia ini dengan peranannya masing-masing sesuai dengan kehendak tuhan yang maha kuasa.

4. Doa untuk memohon keselamatan kpd semua yang berada di luar dan di dalam panggung sepanjang persembahan berlangsung.

5. Meraikan kemenangan kerana telah berjaya menumpaskan kejahatan dan mengajak kpd kebaikan.

Sebelum babak Dalang Muda dimainkan, sudah terpapar beberapa watak diperkeliran. Antaranya ialah Pohon Beringin berada di tengah2 kelir, seorang Maharishi berada ditengah pohon beringin seolah2 sedang berdoa kepada yang maha esa memohon kesejahteraan untuk semua yang ada.

 

Apabila muzik mula dimainkan, dalang muda akan mencabut keluar Maharishi dan Dewa Panah keluar dari perkeliran kecuali Pohon Beringin sahaja yang ditinggalkan seketika di tengah-tengah kain putih yang luas dan disinari pula dengan cahaya lampu. Itulah melambangkan matahari yang menerangi seluruh alam semesta ini. Kerana mataharilah dunia akan terjadi siang dan malam, serta menghidupkan segala sesuatu kehidupan di dunia ini. Dengan adanya seluruh kehidupan dan lain-lainnya dalam alam yg luas ini, kemudiannya dikeluarkan segala ilmu itu kepada manusia yg sebagai alam kecil, atau dengan kata lainnya “Apa yang terjadi di alam besar ini semuanya terkumpul dalam alam kecil secara simboliknya”.  Jadi dia menyarankan kepada kita supaya kita mengkaji semuanya ini termasuk diri kita sendiri serta mempelajari ilmu tuhan yang begitu luas bagaikan lautan yang tidak bertepi. “Dan sesungguhnya jika kayu kayan di bumi ini dijadikan pena dan lautan dibantu dengan tujuh lautan lagi dijadikan dakwat, nescaya tidaklah habis kalimat-kalimat Allah dituliskan. Sesungguhnya Allah itu maha Gagah lagi Bijaksana”….surah Luqman ayat 27.

Pohon Beringin yang tercacak ditengah-tengah kain kelir itulah yang dilambangkan kepada segala kehidupan yang berada didunia ini iaitu sebelum lagi manusia dihantar untuk menjadi khalifah di bumi ini. Atau dgn kata lain, segala tumbuh-tumbuhan, binatang dan apa saja segala keperluan manusia telah pun wujud terlebih dahulu dimuka bumi ini sebelum lagi manusia (Adam) diturunkan. Itulah sebabnya jika dilihat pada ukiran yang terdapat dalam Pohon Beringin Wayang Kelantan, ia tidak terdapat ukiran gambar manusia, tetapi mempunyai motif tumbuh-tumbuhan, binatang dan unggas sahaja yang melambangkan hidupan di bumi, air, udara, hutan belantara dsb.

DSC02877 

Pohon Beringin ini juga dikatakan mempunyai simbolisme kepada seluruh kehidupan di alam semesta ini, iaitu setiap yang bermula pasti akan berakhir. Setiap persembahan dimulai dengan Lenggang Beringin dan diakhiri dengan Pacak Beringin.

Kemudiannya Pohon Beringin tadi di lenggang ke atas dan ke bawah. Masuk balik melalui sebelah kanan dan melenggang hingga ke sebelah kiri. Akhirnya Beringin tadi melenggang di tengah-tengah kelir dan terus ditarik turun ke bawah, seolah-olah hilang lenyap dari pandangan mata. Apabila Pohon Beringin mula dilenggangkan, maka di sinilah bermulanya permainan Wayang Kulit….Ertinya, “Maka bermulalah segala gerak perlakuan, kehidupan dan aktiviti segala makhluk yang berada di bumi ini (termasuk manusia) dengan cara hidup dan peranan masing-masing selaras dengan yang disuratkan di LuhMahfuz…. “Dan dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdirnya yang sempurna”…..surah Alfurqan ayat 2.