Biasanya kalau dialog di dalam persembahan teater tradisional melayu seperti Bangsawan, Makyung, Wayang Kulit, Sandiwara dan purbawara, yang pernah aku dengar percakapan antara watak dengan watak lain yang tidak diketahui namanya, mereka akan menyebut “Tuan hamba’ iaitu panggilan hormat sebagai ganti nama kepada orang yang dilawan bercakap, seolah-olah darjat orang yang kita lawan bercakap itu kita tinggikan sebagai tanda hormat (Tuan) daripada kita yang merendah diri (Hamba). Di dalam teater Bangsawan contohnya, oleh kerana hampir keseluruhan dialog Bangsawan atau Purbawara memakai bahasa surat atau bahasa melayu baku, maka kita akan dapati perkataan ‘Tuan hamba’ ini disebut dengan sebutan yang jelas sekali mengikut ejaan yang sepatutnya.
Perlu dijelaskan juga bahawa dalam pemahaman orang melayu, perkataan ‘Hamba’ yang dimaksudkan di sini mempunyai dua pengertian:
1. Abdi, Budak @Orang suruhan.
2. Gantinama kepada diri sendiri apabila bercakap dengan orang (sebagai merendah diri). Dan ‘Hamba’ sebagai gantinama diri inilah oleh orang-orang Kelantan disebut “Amba”.
Oleh kerana dialog dalam teater Makyung menggunakan bahasa melayu loghat Kelantan sepenuhnya, maka sering kita akan mendengar perkataan ‘Amba’ ini disebut sebagai bahasa pengganti diri. Contohnya raja akan membahasakan dirinya ‘amba’ bila bercakap dengan pengasuh, tetapi pengasuh tidak boleh membahasakan dirinya ‘amba’ apabila becakap dengan raja.
Lagi pun perkataan ‘Tuan hamba’ ini berasal daripada dua perkataan yang mana setiap patah perkataan itu asalnya mempunyai mempunyai makna yang tersendiri, dan apabila dicantumkan, maka lahirlah satu makna yang lain pula.
Mengikut sebutan bahasa melayu standard: TUAN + HAMBA = TUAN HAMBA
Mengikut sebutan loghat melayu Kelantan : TUAN + AMBA = TUAN AMBA
Mengikut pendapat aku yang tidak berapa tahu sangat ilmu nahu dalam bahasa melayu ini, oleh kerana perkataan pertama (TUAN) berakhir dengan huruf N dan perkataan kedua (AMBA) di awali dengan huruf A, apabila disebut secara bersambung, maka akan jadilah TUANAMBA. Samalah juga kalau kita sebut perkataan PASAL APA secara bersambung, maka akan jadilah PASALAPA. Dan aku rasa kaedah sebutan begini bukan terdapat di dalam bahasa melayu sahaja, malah dalam bahasa lain pun.
Sahaja aku postkan topik ini untuk diperbincangkan kerana semasa aku menonton satu persembahan teater Makyung beberapa bulan yang lepas, cukup banyak sekali perkataan ‘Tuanamba’ diucapkan dengan perkataan ‘Tuan nama’ dalam dialog. Sebenarnya aku tidak tahu apakah sengaja disebut begitu atau si penyebutnya dari kalangan yang bukan fasih dalam loghat Kelantan tapi cuba menyebutnya juga, maka akan larilah tajwidnya…..