Bintang Kala

Apabila aku terbaca dalam blog anakanda Adiatsauri yang menceritakan mengenai Betara Kala, maka teringatlah aku akan sebuah manuskrip lama bertulis tangan dalam koleksi aku yang ada menyebut tentang perkataan Bintang Kala dan Ketika Kala. Aku cuba terjemah tulisan jawi ejaan lama pada bab pertama pesanan penulis manuskrip tersebut:

Ini aku buat perhingatan tinggalan kepada anak cucu jikalau siapa-siapa hendak berjalan, ketika ini mahulah kira-kira bulan jangan bagi selebih. Jika kita kira bulan itu satu hari selebih, selebihlah ketika itu. Bukan ketika selebih hari itu selebih. Jangan sia-sia perkata ini kerana nabi kita Muhammad Rasullullah itu tiada sekali-kali dusta, melainkan kita dusta. Bahawa kita hendak kira jalan ini tatakala orang datang mintak tolong dekat kita apa-apa barang kehilang atawa orang minta ubat atawa apa-apalah barangnya. Maka kita kiralah waktu orang itu mari pagi-pagi ke, atawa tengah naik ke, atawa tengahari ke, atawa tengah turun ke, atawa petang-petang ke, mahulah kira waktu orang itu mari apa harinya dan bulannya. Maka kita pelagalah bulan dan hari dengan waktu orang itu mari pada kita, baru kita tengok ketika lima itu ada serasinya dia dalam ketika itu dan lagi jikalau kita hendak mula kerja atawa kita hendak mengubat orang sakit mahulah ada dengan waktunya, jangan selebih sekali-kali pada kira-kira ini.

Dan antara beberapa bab yang terkandung di dalam manuskrip tersebut ialah yang menyentuh pasal horoskop melayu dan takwim purba alam melayu. Antaranya ialah sistem satu minggu lima hari yang disebut sebagai ‘Ketika Lima’ yang digunakan untuk tujuan ramalan dan firasat. Nama-nama bagi ketika ini ialah Ketika Maswara, Ketika Kala, Ketika Seri, Ketika Brahma dan Ketika Bisnu. Dan setiap ketika itu masing-masing mempunyai huraiannya dengan panjang lebar. Sebagai contohnya, perihal ketika kala:

Jika ada khabar jahat, sungguh. Jika ada khabar baik, tiada sungguh. Jika (?) bertemu dengan orang hitam atawa binatang warnanya hitam rambutnya ikal, orang itu jahat niatnya, hendak menyamun atawa hendak membunuh orang barang kerja pada ketika itu………..dan seterusnya..

ketikakala_0003           ketikakala_0002  

Kebudayaan sesuatu kaum itu dibahagikan kepada beberapa komponen dan kebendaan yang setiap sesuatu mempunyai unsur yang tertentu. Dalam unsur2 kebudayaan inilah terdapat pemahaman ilmu falak dan pemikiran alam terawal yang dapat difahami oleh manusia itu sendiri berdasarkan adanya cakarwala di langit, seperti bulan, matahari, bintang-bintang dgn gambaran buruj dan bintang tujuh.

Selain dari ketika kala, manuskrip ini juga menyentuh tentang peredaran bintang. Selain dari mengguna bahasa arab untuk nama-nama bintang-bintang tersebut, nenek moyang kita juga mempunyai istilah mereka tersendiri di dalam memberi nama-nama bintang ini. Contohnya Bintang Mayang, Bintang Jong, Bintang Belatek, Bintang Pari, Bintang Utara, Bintang Timur dan Bintang Kala. Antara huraian tentang peredaran Bintang Kala ialah:

Ini ialah pasal menyatakan Bintang Kala. Jika kepada satu haribulan Bintang Kala duduk di bumi, pada dua haribulan duduk di tengah, pada tiga haribulan duduk di tenggara, empat haribulan duduk di timur jati………dan seterusnya

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang terkandung di dalam manuskript di atas, sama ada ia menerima pengaruh hindu, islam dan juga kepercayaan orang melayu pada zaman dahulu, ia adalah merupakan suatu catatan sejarah nenek moyang kita masa lampau. Unsur-unsur ilmu falak digunakan sebagai takwim yang berkesan. manakala takwim pula menjadi alat yang menjalin hubungan antara manusia dengan alam dan antara manusia dan manusia.

Kegemaran aku hanyalah sebagai pengumpul khazanah peninggalan nenek moyang bangsa aku sahaja, yang telah menjadi ‘angin’ aku semenjak aku remaja lagi..

Bintang Bertapa

Istilah ini sudah pun tidak dapat didengar lagi sekarang ini, lebih-lebih lagi bagi generasi muda. Bintang Bertapa ialah istilah tradisional yang dipakai oleh orang2 tua Kelantan pada zaman dahulu terutamanya bomoh-bomoh tradisional bagi menggantikan sebutan bulan puasa. Penggunaan unsur ilmu falak dalam  perdukunan orang melayu masa dahulu banyak terdapat di dalam ilmu ramalan, perubatan, firasafat dan bermacam-macam lagi. Ore tua dulu2 bukan sahaja mengamalkannya, tetapi yakin dan percaya akan keberkesanannya. Umumnya mereka merujuk kepada tiga buah kitab yang khusus membicarakan bab-bab begini iaitu kitab Tajul Muluk dan kitab Bintang Duabelas dan kitab Mujarobat.

                             tajulmuluk_0002
                             Kitab Tajul Muluk diterjemah oleh Tuan Hussin Besut ibni almarhum Tuan Ishak Pattani.

Oleh kerana kebanyakan bahasa perbomohan di Kelantan diucapkan dengan menggunakan bahasa simbolik dan kiasan, maka untuk tujuan ini pun, sebutan ‘Bulan Puasa’ juga tidak terlepas daripada dipadankan dengan bahasa kiasan di dalam pengucapan mereka.

Perkataan ‘Bintang’  ialah kiasan  kepada sebutan bulan Ramadhan dalam kelendar islam. Sedangkan perkataan ‘Bertapa’ pula bermaksud ‘Puasa’, yakni menahan diri zahir dan batin daripada melakukan sesuatu yang membatalkan puasa, serta memperbanyakkan amal ibadat terutama sekali pada 10 hari terakhir bulan ramadhan.(Iktikaf di masjid).

Wallahua’lam.

Burung Jerijit vs Burung Tekukur

Beberapa minggu lepas, ada seorang yang bertanya kepada aku, apakah nama dua watak yang mula-mula keluar melalui bahagian atas kelir dalam wayang kulit dipanggil Dewa Panah?, aku jawab ‘”ya”. Katanya lagi dia ada mendengar ada kawan dia berkata bahawa Dewa Panah itu berasal dari burung tekukur. Lalu aku tanya, “Tekukur Jawa ke Tekukur Kampung?”..tak tahulah pulak katanya, dan kalau mengikut versi kelantan adakah benar begitu?.  Lalu aku jawab, tak pernah pula aku mendengar pula lagu tu dan yang pernah aku dengar disebut berasal dari burung jerijit. Tp aku malas nak hurai panjang la di sini sebab dlm blog Mat Dian pun tulis panjang dah.

Mengikut apa yang aku tahu kalau dalam versi wayang kulit Kelantan, burung jerijit tu berasal dari dewa panah, bukannya  dewa panah tu berasal dari burung jerijit… Pendapat aku ni cari buleh hnyakit belako nih…cari kena marah kokre..,tp kalu kita tak royak, demo tak tahu….acu perati  dalam apa2 cerita wayang kulit sekali pun, pertukaran rupa fizikal biasanya mestilah  melalui dua kali proses pertukaran, barulah dikira habis maksud dia.

DSC00727.1 

Satu perkara laginya, pernah juga aku terbaca ada orang menafsirkan bahawa dewa panah sebelah kiri melambangkan kejahatan dan dewa panah sebelah kanan melambangkan kebaikan. Pada umumnya aku bersetuju dengan pendapat itu, tetapi dalam hal Dewa Panah ini kita tidak boleh menyamakan antara watak Seri Rama dan Maharajarawana yang mana secara terang-terangan mengistiharkan peperangan selama berbulan-bulan lamanya, sedangkan dalam babak dewa panah hanya tidak lebih dari  pertelingkahan kecil antara laki bini yang berpunca dari salah faham sahaja.

Aku rasa penafsiran begitu dibuat berdasarkan kepada apa yang mereka lihat sekarang ini, atau di beriitahu begitu, sedangkan bentuk Dewa panah yang dipakai sekarang ini ditiru dari bentuk wayang gedek dan telah diubah suai supaya tidak nampak sangat kegedekannya itu.

Soalan sekarang ialah:

Kalau Dewa panah ———> mana panahnya?

Kalau Burung jerijit ———> mana sayapnya?