Bintang Kala

Apabila aku terbaca dalam blog anakanda Adiatsauri yang menceritakan mengenai Betara Kala, maka teringatlah aku akan sebuah manuskrip lama bertulis tangan dalam koleksi aku yang ada menyebut tentang perkataan Bintang Kala dan Ketika Kala. Aku cuba terjemah tulisan jawi ejaan lama pada bab pertama pesanan penulis manuskrip tersebut:

Ini aku buat perhingatan tinggalan kepada anak cucu jikalau siapa-siapa hendak berjalan, ketika ini mahulah kira-kira bulan jangan bagi selebih. Jika kita kira bulan itu satu hari selebih, selebihlah ketika itu. Bukan ketika selebih hari itu selebih. Jangan sia-sia perkata ini kerana nabi kita Muhammad Rasullullah itu tiada sekali-kali dusta, melainkan kita dusta. Bahawa kita hendak kira jalan ini tatakala orang datang mintak tolong dekat kita apa-apa barang kehilang atawa orang minta ubat atawa apa-apalah barangnya. Maka kita kiralah waktu orang itu mari pagi-pagi ke, atawa tengah naik ke, atawa tengahari ke, atawa tengah turun ke, atawa petang-petang ke, mahulah kira waktu orang itu mari apa harinya dan bulannya. Maka kita pelagalah bulan dan hari dengan waktu orang itu mari pada kita, baru kita tengok ketika lima itu ada serasinya dia dalam ketika itu dan lagi jikalau kita hendak mula kerja atawa kita hendak mengubat orang sakit mahulah ada dengan waktunya, jangan selebih sekali-kali pada kira-kira ini.

Dan antara beberapa bab yang terkandung di dalam manuskrip tersebut ialah yang menyentuh pasal horoskop melayu dan takwim purba alam melayu. Antaranya ialah sistem satu minggu lima hari yang disebut sebagai ‘Ketika Lima’ yang digunakan untuk tujuan ramalan dan firasat. Nama-nama bagi ketika ini ialah Ketika Maswara, Ketika Kala, Ketika Seri, Ketika Brahma dan Ketika Bisnu. Dan setiap ketika itu masing-masing mempunyai huraiannya dengan panjang lebar. Sebagai contohnya, perihal ketika kala:

Jika ada khabar jahat, sungguh. Jika ada khabar baik, tiada sungguh. Jika (?) bertemu dengan orang hitam atawa binatang warnanya hitam rambutnya ikal, orang itu jahat niatnya, hendak menyamun atawa hendak membunuh orang barang kerja pada ketika itu………..dan seterusnya..

ketikakala_0003           ketikakala_0002  

Kebudayaan sesuatu kaum itu dibahagikan kepada beberapa komponen dan kebendaan yang setiap sesuatu mempunyai unsur yang tertentu. Dalam unsur2 kebudayaan inilah terdapat pemahaman ilmu falak dan pemikiran alam terawal yang dapat difahami oleh manusia itu sendiri berdasarkan adanya cakarwala di langit, seperti bulan, matahari, bintang-bintang dgn gambaran buruj dan bintang tujuh.

Selain dari ketika kala, manuskrip ini juga menyentuh tentang peredaran bintang. Selain dari mengguna bahasa arab untuk nama-nama bintang-bintang tersebut, nenek moyang kita juga mempunyai istilah mereka tersendiri di dalam memberi nama-nama bintang ini. Contohnya Bintang Mayang, Bintang Jong, Bintang Belatek, Bintang Pari, Bintang Utara, Bintang Timur dan Bintang Kala. Antara huraian tentang peredaran Bintang Kala ialah:

Ini ialah pasal menyatakan Bintang Kala. Jika kepada satu haribulan Bintang Kala duduk di bumi, pada dua haribulan duduk di tengah, pada tiga haribulan duduk di tenggara, empat haribulan duduk di timur jati………dan seterusnya

Berdasarkan kepada keterangan-keterangan yang terkandung di dalam manuskript di atas, sama ada ia menerima pengaruh hindu, islam dan juga kepercayaan orang melayu pada zaman dahulu, ia adalah merupakan suatu catatan sejarah nenek moyang kita masa lampau. Unsur-unsur ilmu falak digunakan sebagai takwim yang berkesan. manakala takwim pula menjadi alat yang menjalin hubungan antara manusia dengan alam dan antara manusia dan manusia.

Kegemaran aku hanyalah sebagai pengumpul khazanah peninggalan nenek moyang bangsa aku sahaja, yang telah menjadi ‘angin’ aku semenjak aku remaja lagi..

12 thoughts on “Bintang Kala

  1. ada satu lagi bab hok kita berjupo dalam pembacaan terjemahan manuskrip/kitab-kitab Melayu lama iaitu ‘Ketika Tujuh’..

    Seperti mana “ketika Lima” turut juga menyentuh bab-bab bintang.. bab2 tu menyatakan nama-nama bintang seperti (1) Bintang Kamar (bulan), (2) Bitang Katib, (3) Bintang Zahari, (4) Bintang Shams (matahari), (5) Bintang Marikh, (6) Bintang Mushtari dan (7) Bintang Zahal (Zuhal)…

  2. cara merasi ni mmg asal di ambik dari sumber ilmu bintang jgk.. apabila lama kelamaan tu cara praktiknya sudah jadi berbagai2..
    cara jumlah bilangan la, pelaga huruf awal betina jantan la…ukuran la.

  3. bukan semonya berasaskan kitab ni belaka…mungkin ada sumber lain lagi
    yg kita x mengaji bab tu kita x tahu..

    Tok tteri susun bertih tu dia ada byk peringkat.
    Bhgian mertabat pesakit..bhgian angin pesakit..bhagian nk cari penggoda.. bhgian nk cari penyebab sakit…

  4. selalunya tok teri nk tuduh apa2 tu mesti dia berpandu kpd formula
    kiraan bertih..dale bahasa ggoni dia panggil ‘kuntom’..

    kalu hok jenis cerdik sikit dia kena tgk jgk biodata pesakit dan dipelaga dgn kiraan kuntom…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>