Walaupun negeri Kelantan lebih terkenal dengan negeri yang kaya dengan bermacam muzik dan nyanyian trdisional sejak turun temurun lagi sehingga sekarang, bukan bermakna rakyatnya tidak meminati dan menerima muzik dan peralatannya yang dibawa dari barat. Contohnya suatu masa dahulu di Kelantan pernah mempunyai sebuah orkestra yang bernama ‘Tala Wijaya’ yang dipimpin oleh anak tempatan yang bernama Abdulah Bukhari dan ada antara pemainnya yang aku kenal masih ada lagi sehingga ke hari ini (tp sudah tua) dan beliau pernah mengajar aku bermain violin. Bahkan di Kelantan juga suatu masa dahulu terdapat seorang pemain violin yang mutu permainannya dikatakan setanding dengan Allahyarham Hamzah Dolmat, namanya Ibrahim Jaafar. Ini pernah diberitahu oleh seorang pemain violin dari Meru Klang Selangor kepada aku suatu masa dahulu.
Tidak dapat dipastikan bilakah alat-alat muzik barat dibawa masuk ke Kelantan dan dipelajari oleh anak tempatan, mungkin juga dibawa bersama dengan kemasukan orang inggeris ke kelantan atau sebelumnya. Bagaimanapun mengikut satu sumber yang menceritakan tentang perarakan Burung Petala Indera di Kelantan pada tahun 1921, terdapat sebuah usungan yang membawa pasukan (kumpulan) biola (violin) lagu melayu.
Baru-baru ini semasa aku membelek-belek sebuah majalah Mastika edisi lama tahun 1949, terdapat satu muka surat (ms 11) yang memuatkan lirik lagu Gadis Kelantan seperti seperti dibawah ini.
Teringat aku akan satu peristiwa yang berlaku sempena dengan santapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan pada awal tahun ‘80an dahulu yang mana aku adalah salah seorang pemain muzik tradidional untuk majlis tersebut. Semasa acara sedang berlangsung, juru acara telah mempersila seorang penyanyi veteran dari Kelantan yang bernama Nik Par Chali untuk mendendangkan sebuah lagu. Apakah Nik Par ini ialah Nik Jaafar pencipta lagu Gadis Kelantan tersebut aku tidak pasti. Nak tanya Pak Sin keroncong pun, Pak Sin mati lama dah.