Puja Tunggul

Mengikut sumber yang pernah aku dengar, dikatakan Rebana ubi mendapat nama demikian kerana bentuknya seakan-akan menyerupai ubi badak. Dikatakan juga dicipta  oleh puak2 keturunan Raja Jembar yang ditiru dari bentuk Rebana Besar, dan ini bermakna Rebana Besarlah lebih dahulu wujud sebelum Rebana Ubi. Apa yang aku hendak ceritakan disini ialah permainan Rebana Besar iaitu sejenis permainan orang Kelantan pada zaman dahulu yang telah pun pupus sekarang ini. Bagi orang tua-tua zaman dahulu rebana jenis ini disebut dengan loghatnya yang tersendiri iaitu ‘Gebano’.

Walaupun bentuknya sama seperti Rebana Ubi, Rebana Besar adalah lebih besar saiznya jika dibandingkan dengan Rebana Ubi, sebab itulah ianya dinamakan Rebana Besar. Setiap set Rebana Besar hanya mengandungi 2 biji sahaja berbanding dengan 6 biji untuk set Rebana Ubi, cuma kadang2 ada dipakai sebiji rebana kecil atau pun redap sebagai peningkahnya atau pun dipakai 3 biji rebana besar serentak.

 

DSC07086 

Biasanya Rebana Besar dimainkan bukan untuk tujuan pertandingan, tetapi lebih kepada mengiringi nyanyian yang disebut sebagai ‘Dikir Rebana’ atau ‘Dikir Gebano’ yang dimainkan dirumah tempat kenduri kendara. Cara bermainnya ialah terlebih dahulu rebana-rebana ini digantung menjadikan kedudukannya mengiring dengan menggunakan rantai besar atau rantai gajah pada batang pinang atau batang nibong yang menjadi penggalang pada bahagian atas sebagai tempat penggantungan. Setiap sebuah Rebana Besar hanya dipalu oleh seorang sahaja sambil duduk bersila dengan mengunakan tangan, manakala ahli atau awak-awak yang lain akan duduk dibahagian belakang.

Kayu yang biasa diguna untuk membuat temalang/baluh Rebana besar ini biasanya terdiri dari kayu merlong, kayu merbau atau apa-apa kayu keras yang berukuran kira-kira dua pemeluk atau lebih. Rotan penyiratnya pula terdiri dari rotan kertas, rotan rial atau  rotan buku hitam, sementara bahagian permukaannya pula dipasang dengan kulit kerbau. Bagi ahli dalam membuat Rebana Besar dan juga Rebana Ubi ini ada petua yang tersendiri untuk memilih kulit yang memiliki suara yang bagus, sehinggakan mereka sanggup membeli sa ekor kerbau yang mereka berkenan lebih mahal pun tidak menjadi masaalah jika kerbau tersebut mempunyai ciri-ciri kulit yang bertepatan dengan kulit yang mereka mahu.

Mengikut adat orang tua zaman dahulu, setelah Rebana Besar ini siap dibuat, ia tidak boleh dibawa bermain ke mana-mana lagi kecuali terlebih dahulu dilakukan suatu upacara yang dipanggil ‘Puja tunggul’ yang mana Rebana Besar ini terlebih dahulu dibawa kepada tunggul pokok kayu yang ditebang untuk membuat temalangnya. Didalam upacara yang dibuat selepas waktu zohor ini dibuat sedikit kenduri sebagai tolak bala yang dikhuatiri timbul kemudian hari. Selepas bomor melakukan upacara, Rebana tersebut akan dipalu oleh mereka atau orang awam sehingga lewat petang, seolah2 upacara ini menjadi satu pesta keramaian kampung pula. Pernah juga diceritakan oleh seorang kawan aku kepada aku bahawa pada zaman gemulah datuknya menjadi tok jogho gebano dahulu, setiap kali hendak membawa rebananya keluar bermain kemana-mana maka akan dibuatlah kenduri untuk tujuan itu. Bagaimana pun aku pernah juga melihat peristiwa seumpama ini iaitu sewaktu pemindahan dua buah rebana besar yang telah bertukar milik dan dipindahkan ke sebuah muzium.

Zaman kegemilangan Rebana Besar telah pun berlalu, bahkan permainan tersebut sekarang ini sudah pun pupus. Kepupusannya boleh dikatakan sama seperti nasib permainan Dikir Llaba. Seingat aku permainan Rebana Besar ini dilihat bermain buat kali terakhir pada tahun 1983, itu pun dimainkan oleh pemain-pemainnya yang umurnya sudah menjangkau 70 tahun ke atas. Yang masih boleh bertahan hingga sekarang ini ialah permainan Rebana Ubi sahaja, itu pun antara diantara lagu-lagunya sudah dipinjam dari lagu-lagu wayang kulit, bahkan aku mendapat khabar sekarang ini  oleh kerana banyak lagu-lagu wayang kulit sudah disadurkan ke dalam permainan rebana ubi, maka ditambah pula dengan tiupan serunai.

Mungkin suatu masa nanti generasi akan datang sudah tidak dapat membeza lagi yang mana lagu Rebana Ubi yang asli dan lagu saduran yang dipinjam dari permainan lain jika tidak dibuat pembetulan oleh mereka-mereka yang berpengetahuan dalam bidang ini.

DSC03523 

Rebana Ubi yang bernama ‘Tok Gual’ ini sedang menghabiskan sisa-sisa hayatnya di surau untuk dipalu sebagai pemberitahu masuknya waktu solat kepada masyarakat di sekitarnya.