Disamping menjalankan tugas harianku di penghujung tahun lepas, sempat juga aku terlibat dalam dua program Mak Yong yang dibuat pada bulan November lepas. Program yang pertama ialah persembahan Mak yong Raja Besar Senyanya yg di pentaskan oleh kumpulan Mak Yong Istana Budaya dengan kerjasama Pusat Pengajian Seni USM di Dewan Budaya USM pada 8 & 9 November 2008 dan program Mak Yong Ekstravaganza 2008 di Matic Jln Ampang pada 27 – 30 Nov 2008.
Disamping terlibat sebagai pemain muzik pada kedua-dua program tersebut, aku juga diminta menjadi sebagai ahli panel di dalam program Bicara Seni Mak Yong Di Abad Ke 21 dan penceramah Bengkel Mak Yong Ektravaganza.
Di dalam melontarkan pandangan masing-masing di dalam kedua-dua bengkel ini maka bermacam pendapat yang aku dengar daripada penceramah-penceramah dalam bidang masing-masing, bermula dari salsilah mak yong, filasafah Mak Yong hinggalah kepada tarian, muzik, kostum dan lakunan Mak Yong.
Maka teringatlah aku di suatu masa dahulu pernah juga aku mendengar ada yang mengatakan bahawa tangan yang di angkat sewaktu menari yang menampakkan lima jari itu adalah sebagai lambang kepada huruf alif lam lam ha.

Bicara Seni : MAK YONG DI ABAD 21
Kadang-kadang hatiku tertanya-tanya juga adakah benar ini semua atau pun sengaja direkacipta oleh orang dahulu untuk meyakinkan orang ramai bahawa di dalam permainan Mak Yong itu ada terkandung erti disebaliknya atau selaras dgn agama islam demi untuk mengelak dari lalai mengingati tuhan, bagaimanpun aku tidaklah pula menafikan pendapat tersebut.
Bagi pendapat aku, di dalam keadaan Mak Yong yang sedang hendak dipulihkan balik sekarang ini ada lebih baik jika ianya ditumpukan kepada hal-hal yang bersangkutan dengan persembahan seperti pengucapan, geraktari, nyanyian, muzik dan lain-lain elemen yang bersangkutan dengan persembahan. Bagi aku, di sinilah terletaknya keindahan seni MakYong itu jika dihayati betul-betul.

Bengkel muzik Mak Yong Pada sebelah petang.
Aku berkata demikian kerana apabila aku menonton kebanyakan persembahan mak yong sekarang ini, aku rasa banyak perkara-perkara yang sepatutnya ditonjolkan tetapi sudah tidak ada lagi, seolah-olah aku melihat sebuah pementasan drama yang menggunakan dailek Kelantan dan berlatar belakangkan muzik tradisional. Apa tidaknya, setiap gerakan perjalanan hanya menggunakan suasana “Gaduh Lorat” sentiasa. Kalau ada yg menyanyi lagu barat anjur sekali sekala pun sudah lagi tidak mengikut tempo lagu yang telah ditetapkan.
Nasib baik lagu-lagu mak yong ini belum difahami secara menyeluruh lagi oleh penonton awam, kalau tidak, ramailah pelakon yg menyanyi Mak Mong akan dicap sebagai menyanyi out tempo. Bagi pandangan aku, perkara-perkara sebeginilah yang sepatutnya dititik berat oleh penggiat dan pengajar, daripada mereka membincangkan falasafah, lambang dan sebagainya pada peringkat pemulihan ini.

Bersama dengan kumpulan Istana Budaya
Pernah juga di satu persembahan mak yong yang aku tonton sedikit masa dulu ada antaranya aku terdengar satu pengucapan yg di ucap oleh seorang peran kpd raja (Pak yong) yg berbunyi.
Wan lah takkala tuanku keluar tubit pagi hari gelap limun- limun basah.
Peloh pelai tajong menajong seperti manik gugur dari kayangan.
Aku pun tak tahu dari manakah sumber yg mereka ambil sehingga menjadi basah dan kayangan, atau mereka mendengar dari pita rakaman yg tidak jelas sebutannya. Yang aku rasa ialah yang mengajar ini ialah mereka yg tidak berpengetahuan sgt dlm Mak Yong. Itulah makanya yg aku lihat sekarang init teater Mak yong sgt mudah dilakonkan oleh orang sekarang, tidak seperti zaman aku belajar 40 tahun dahulu. Zaman aku aku dahulu, guru akan menerang dan menghurai satu persatu apa yg diucap supaya tidak tersalah sebut.
Berbalik kpd pengucapan di atas tadi, yang pernah dan selalu aku dengar pengucapan ini di ucap oleh penggiat mak yong lain, baik yg masih hidup dan yg telah mati ialah.
Wan lah takkala tuanku keluar tubit pagi hari gelap limun-limun basa.
Peloh pelar tajun menajun seperti manik putus dari karangan.
Pengucapan sebegini dinamakan “Ucap Tetap” yg memperkenalkan tempat, latar tempat, suasana dan peristiwa. Untuk memperkenalkan fungsi-fungsi di atas, peran akan menggunakan kunci ucap atau kunci bilangan untuk menggambarkan suasana tersebut.
Pengucapan yg menggunakan kiasan ini menggambarkan raja keluar pada pagi hari dalam suasan yg gelap lagi (kalu di dalam perbualan harian ore tua tua dulu, waktu pagi-pagi sebegini dia sebut dgn istilah “ayam turun sarang” atau “Cerah tanah”) dengan keadaan peluh yang merecik dari badan bagaikan biji-biji manik yang bertaburan apabila putus tali ikatan karangannya. Sedangkan perkatan Tajun menajun itu sendiri bermakna peluh yang keluar berhamburan sprit manik putus dari karangan.
Sepanjang pengamatan aku di dalam beberapa penulisan sekarang ini, aku pernah terjumpa bermacam-macam fakta yg tidak tepat, sehingga ada yg mengatakan bahawa sekarang ini digunakan tali biola atau tali gambus pada rebab. Alangkah baiknya kalu dapat fakta-fakta dan pengucapan ini diperbetulkan balik supaya selaras dengan apa yang sebenarnya.


