TOK JANGGUT

 

tokjanggut 

“Bergerak riadhatun nafs bersih suci dalam diri……Terbukalah selubung menembus segala hijab yang menyelubung…..Disisinya segala anak kunci keghaiban, tidaklah gugur daun-daun melainkan dengan setahunya, tidak pula suatu biji kecil dalam kegelapan bumi….Dan tidak ada yang basah, tidak ada yang kering.  Wajibul Wujud, Yang Hidup dan Yang Tegak Teguh…..Bagi-nya seruan Haq!!…Maha luaslah kursi-nya meliputi semua langit dan bumi!….Maha Luas dalam Malakut dan Jabarut-Nya…..Tidak tercapai ke lawang langit….Tidaklah akan usak-usainya…..Maha Besar dalam Zat dan Sifatnya…

Sempena dengan Upacara Konvokesyen ke 40, Ulang Tahun ke 40 Universiti Sains Malaysia dan sempena dengan Hari Kebangsaan ke 52, Pejabat Naib Canselor, Pejabat Pembangunan Seni dan Budaya, Pusat Pengajian Seni dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM telah menganjurkan sebuah teater patriotik yang bertajuk Tok Janggut bertempat di Auditorium Dewan Budaya USM pada 16hb Ogos 2009. Teater arahan Senibayan ini adalah satu produksi yang menggabungkan kakitangan Pusat Pengajian Seni USM, kakitangan Dewan Budaya USM, Himpunan Anak-Anak Kelantan USM, Penggiat teater dari Kelantan Darul Naim, Wak Khalid Salleh dan Sdra Azmeer.

  1. DSC02675         tok janggut 2_0002
  2.    Tok Janggut bersama sahabatnya

Di dalam babak pertama teater Tok Janggut telah dimasukkan unsur permainan wayang kulit dengan tujuan untuk melestarikan salah satu dari permainan tradisi yang semakin pupus sekarang ini. Disamping menjadi salah satu acara hiburan pada zaman itu, melalui permainan tradisionallah juga menjadikan salah satu tempat rakyat kelantan berkumpul pada malam hari untuk melepas penat lelah setelah membanting tulang berkerja pada siangnya. Peluang inilah yang diambil oleh En. Abdul Latiff seorang District Officer Pasir Puteh yang didatangkan dari Singapura berjumpa dengan orang-orang kampung bagi tujuan memperkenalkan sistem pungutan cukai yang dikeluarkan oleh pihak British.

tok janggut 2_0001 

Hj. Mat Hassan bin Panglima Munas atau Tok Janggut anak melayu jati Kelantan diperanakkan pada sanat 1268 bersamaan dengan TM 1850. Semasa ia lahir dari kandungan ibunya oleh uri yang tebal (Tebal Tembuni). Semasa berumur tiga atau empat tahun, Mat Hassan tersangatlah buas dan jika digigit oleh anjing atau di tanduk oleh binatang, tiada meninggalkan kesan luka pada kulitnya.

Semasa berumur belasan tahun, Mat Hassan sangat suka main bertikam buah anjung dan bertikam dengan menggunakan batang bemban muda yang dicelup kunyit dengan kapur dengan kawan-kawannya. Apabila berumur lapan belas tahun, Mat Hassan telah masuk jawi (Bersunat), dan apabila sembuh khatannya, Mat Hassan telah dijamu oleh bapanya bubur yang dicampur dengan uri yang disimpan semasa beliau lahir dahulu.

Takhala umur Mat Hassan genap dua puluh lima tahun, tersangatlah berani dan handal orangnya serta menjadi kepala bagi sekelian kawan-kawannya (Kepala Pengat) dan jika ada pencuri yang masuk kampung hendak mencuri, maka dialah akan memukul atau menikam pencuri tersebut.

Ada pun sifat tubuh Mat Hassan iaitu tingginya lebih kurang enam kaki. Bentuk badannya sederhana, warna kulitnta hitam manis, matanya bulat dan tajam pula pemandangannya serta kemerah-merahan alamat ia seorang yang berani. Dahinya luas, alamat luas kira bicara. Kepalanya besar tanda berakal dan rambutnya botak menunjukkan ia kuat berfikir dan kening lebat, tanda tetap didalam membuat sesuatu keputusan.

Pakaian yang digemarinya pula ialah dari jenis yang berwarna hijau. Senjata yang selalu ada di badannya ialah sebilah keris majapahit berhulu gigi luk sembilan iaitu keris pusaka dari bapanya. Budi bahasanya tersangat halus dan suka menolong orang yang ditimpa kemalangan dan kesusahan, tetapi beliau sangat juga sangat pembengis jika barangsiapa berbuat jahat atau zalim dan beliau pernah menikam orang yang berbuat zalim dengan kerisnya. Pernah Mat Hassan bertikam dengan seorang bernama Isa Berani dari kampung Pintu Pupuh dan akhirnya Isa Berani mati ditikam oleh Mat Hassan. Dikatakan sebelum Mat Hassan pergi ke Mekah, sebanyak lapan orang telah mati ditangannya, itu tidak termasuk yang tidak mati dibunuhnya. Beliau banyak menuntul ilmu dunia daripada guru yang bernama Dato’ Mekong Bujur di negeri Legeh.

Semasa berumur lebih kurang tiga puluh tahun, Mat Hassan telah mula menyimpan janggutnya sehingga panjang mencecah ke dada. Bermula dari situlah nama Mat Hassan lebih dikenali dengan nama panggilan “Tok Janggut”.

Tok Janggut naik haji ke Mekah pada tahun 1327H bersama sepupunya Tuan Guru Hj. Salleh kampung Alur Pasir Wakaf Berangan. Semasa di Mekah, Tok Janggut sempat berguru dengan Syekh Ahmad Al Fatani.

tok janggut 1_0003

Apabila British mengenakan cukai kepada rakyat Kelantan, ramai yang tidak berpuas hati. Tambahan pula En. Abdul Latiff iaitu Tuan Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang baru tiba dari Singapura selalu sahaja bersikap kurang ajar kepada orang-orang kampung ketika melaksanakan tugasnya untuk mengutip cukai. Lalu orang-orang kampung yang diketuai oleh Hj. Mat Hassan bin Munas atau lebih dikenali dengan nama Tok Janggut berserta rakan-rakannya seperti Tok Abas, Tok Hussin, Hassan Rimau, Berahim Teleng dan ramai lagi bangun dan menentang pihak British yang bersikap kuku besi. Mereka bergabung dengan Tengku Besar Tuan Ahmad iaitu pembesar di Jeram, Pasir Puteh Kelantan bersama-sama membentuk hampir tiga ribu orang dalam empat pasukan yang diketuai oleh sahabat-sahabat Tok Janggut.

Dalam peperangan itu, akhirnya Tok Janggut mati ketika sedang sedang berjuang menentang di medan perang. Mayat Tok Janggut dibawa dari pasir Puteh ke Kota Bharu dengan kereta lembu dan diarak diseluruh bandar Kota Bharu untuk tontonan rakyat jelata. Selesainya dibawa berkeliling di Padang Bank sebanyak tiga kali, mayat Tok Janggut disait (gantung songsang) di tengah Padang Bank selama satu jam. Kemudian mayatnya dibawa ke Pasir Pekan untuk dikebumikan di
sana.

tok janggut 1_0002

Skrip teater Tok Janggut dirujuk dari buku “Riwayat Hidup Tok Janggut” susunan Hj. Abdullah Amirah cetakan Sinaran Bros 1957. Hj Abdullah adalah  anak kepada Awang Merah, iaitu salah seorang rakan setia Tok Janggut sewaktu menentang British tahun 1915.

Mantra Buana

 

matrabuana 

Program Penang Mantra Buana 2009 merupakan sebuah persembahan pentas yang mempunyai pengisian persembahan-persembahan Melayu bercorak tradisional melibatkan dua buah wilayah, iaitu wilayah utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan wilayah timur (Kelantan).

“Mantra” bermaksud dimensi yang merujuk kepada bentuk persembahan tradisional Melayu yang terdapat dalam beberapa jenis, seperti tarian, penglipularaan, persembahan kumpulan (samaada dalam bentuk muzik, pergerakan atau gestura badan) dan permainan bayang (wayang kulit). Beberapa contoh yang boleh menggambarkan dimensi-dimensi ini adalah seperti tarian Terinai, Hadrah, Awang Batil, Kumpulan Gendang Keling, Wayang Kulit Gedek, Boria, Tarian Joghee, Dikir Barat, Mak Yong, Tarik Selampit dan Wayang Kulit Kelantan.

Mantra ini pula boleh berbeza mengikut demografi sesuatu tempat. Hal ini disebabkan oleh persekitaranmanusia yang mempengaruhi pemikiran, falsafah, adat atu kepercayaan penduduk sesuatu kawasan serta budaya yang lazimnya juga sedikit berbeza, malah mungkin berbeza sama sekali. Mantra juga boleh mewakili kenegerian (Dalam konteks negeri-negeri yang terdapat dalam negara Malaysia) atau mewakili arah mata angin seperti utara, selatan, timur dan barat.

Manakala perkataan “Buana” pula membawa maksud alam semesta/alam sejagat/dunia. Kombinasi dua perkataan ini membentuk Mantra Buana dan didefinisikan sebagai dimensi persembahan tradisional melayu.

star

  Keratan akhbar The Star 11 Julai 2009

Di dalam pementasan tradisional yang berlangsung selama dua malam tersebut, aku rasa kebanyakannya sudah pun ditulis orang mengenai pengenalan, asal usul dan bentuk persembahan. Cuma apa yang aku utarakan di sini ialah sejenis persembahan tradisional yang sangat susah sekali untuk mendengarnya   sekarang ini apa lagi hendak menontonnya. Persembahan yang aku maksudkan di sini ialah Selampit.

Selampit ialah satu bentuk penuturan cerita oleh seorang penglipulara yang sama kategorinya dengan Awang Batil, Awang Belanga dari Perlis. Di Malaysia ada terdapat dua bentuk penuturan cerita penglipulara ini yang kedua-duanya menggunakan nama selampit, iaitu selampit Perlis dan selampit Kelantan. Perbezaan antara kedua-dua selampit ini ialah;

1.  Selampit Perlis – cara penyampaiannya berbentuk seperti gurindam dan seloka. Sekali aku dengar macam karut patani dalam dikir barat. Disepanjang persembahannya hendaklah sentiasa ada asap kemenyan yg berkepul-kepul. Tidak menggunakan sebarang alat muzik iringan, hanya cukup dengan seorang pembantu yang bertugas menjaga tempat perbara supaya sentiasa berasap. Tapi sayangnya permainan Selampit Perlis telah terkubur setelah mati penggiatnya yang terakhir iaitu Pak Mail kalau tak silap aku pada awal tahun ‘90an dahulu.

2.    Selampit Kelantan – cara penyampaiannya berbentuk nyanyian dan bahasa yang bersajak dan diiringi dengan gesekan rebab yang dimainkan oleh Tok Selampit itu sendiri. Selampit Kelantan juga ikut terkubur setelah matinya pelapis yang terakhir pada akhir tahun ‘90an dahulu iaitu Mat Nor Awang (Pak Da Nor).

Bagi orang-orang tua di Kelantan, persembahan ini dipanggil “Tarik Selampit”. Perkataan “Tarik” bererti mengalunkan sesebuah lagu. Perkataan ini bukan sahaja diguna oleh orang-orang tua di Kelantan sahaja, malah ianya diguna juga oleh orang-orang tua di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dengan maksud yang sama. Bahkan didalam teater bangsawan pun jika terdapat alunan nyanyian yang membawa kepada perasaan sedih dan pilu, ia juga disebut sebagai “Tarik Nasib”.

Selampit pula bermaksud menyampaikan cerita atau perihal. Mengikut cerita orang dahulu kala, asal selampit ini bermula dari kesah seorang raja yang baru mendapat seorang putera laki-laki yang cantik dengan permaisuri tuanya, menyebabkan isteri muda telah mengupah nujum supaya mengkhabarkan kepada raja yang putera itu sangat celaka dan hendaklah dibuang ke hutan. Semasa berada dalam buangan inilah kulit putera itu telah ditumbuhi oleh kudis kerapu yang menyebabkan putera ini berjalan keluar ke kedai bugih kedai pesara di negeri Seranting Jatuh Segedung Dua untuk meminta sedekah. Sambil menggesek rebab sambil menyanyi ia menceritakan kesah dirinya dari awal hingga dia terjadi demikian. Oleh orang ramai yang mendengarkan rintihan tadi memanggil putera itu sebagai “Budak Selampit” iaitu budak yang menceritakan kesah-kesah dan kejadian.

Kalu Mak Yong mempunyai cerita tonggaknya iaitu Dewa Muda, Wayang kulit mempunyai cerita Seri Rama, maka riwayat Budak Selampit ini pula menjadi cerita tonggak didalam persembahan Tarik Selampit yang lebih dikenali dengan nama cerita Selampit atau Awang Selampit, disamping cerita – cerita yang lain seperti Raja Dera, Megat Si Gembang, Awang Lutong dan lain lagi.

Wallahua’lam.

Belasungkawa I

Pak Sin Tempoyak atau nama sebenarnya Hashim bin Mamat dilahirkan di kampung Tempoyak Bekelam Bachok Kelantan pada tahun 1924 dan dibesarkan di Kedai lalat (nama lama kg. Kota Jembar). Pernah belajar di Pondok Pauh Panji sebelum perang jepun. Disamping belajar agama, Pak Sin juga belajar bersilat dari guru agamanya iaitu Hj Hussin Pancur. Selepas itu beliau telah mengembara ke serata tempat untuk memperdalami ilmu persilatan dan bermacam2 lagi. Pak Sin pernah mencerita kepada aku, semasa beliau sedang menuntut ilmu Hakikat Perang di Wilayah Narathiwat Selatan Thailand, telah meletus pertempuran antara orang-orang melayu dengan sepasukan polis siam yang dikenali sebagai “Perang Dusun Nyiur” pada bulan april 1948. Kalau tak silap ingatan aku, Pak Sin mengatakan sewaktu itu beliau berada di rumah Hj Mat Karang.  Dalam asakan peluru senapang yang tidak mengenal kawan atau lawan dan asap yang berkepul2 selama sehari setengah itu,  Pak Sin telah diberi tugas keluar ke halaman rumah untuk mengambil mayat dan pejuang-pejuang melayu yang tercedera, tetapi Pak Sin telah diberi amaran supaya tidak melintasi sempadan yang sudah ditetapkan untuk mengelak daripada terkena peluru musuh. Dikatakan dalam tragedi tersebut dianggarkan seramai 400 orang melayu dan 30 polis siam telah terkorban. Tp ada juga aku terbaca di dalam satu sumber mengatakan lebih dari 1,000 orang melayu yg terkorban. Wallahualam….

DSC02621

  Hashim bin Mamat @Pak Sin Tempoyak (1924 – 2009).

 

Apabila kembali ke Kelantan dalam tahun 1953, Pak Sin mula belajar ilmu permainan bageh dgn Pak Da Yasin, iaitu sejenis ilmu pengubatan tradisional, sehingga pada masa itu Pak Sin dikenali dengan panggilan “Hussin Tok Bageh”. Sebenarnya minat Pak Sin kepada macam-macam permainan tradisional ini sebelum itu lagi. Kemudian Pak Sin belajar pula bermain Peteri dengan seorang perempuan yang tinggal di Bukit Marak. Pada peringkat permulaanya Pak Sin bergabung dengan peteri Limah Anak Rimau Babong kerana memandangkan Limah seorang perempuan yang sudah tentu tidak dapat melayan pesakit yang mempunyai angin silat. Tambah lagi Pak Sin dan Limah mempunyai pertalian keluarga yang dekat. Mengikut apa yang diceritakan oleh Pak Long Awang kepada aku, oleh kerana banyak tempahan-tempahan pihak orang sakit yang berkehendakkan kepada Pak Sin untuk main peteri pada masa itu, maka kadang-kadang upacara bageh dibuat pada siang hari dan main peteri dilakukan pada malamnya.

Disamping itu juga Pak Sin ada mempunyai kumpulan kertok, ulek banda, berarak inai dan berbagai lagi. Dalam bidang persilatan pula, Pak Sin terkenal dengan tahan sakit dan kepala keras. Dalam pertengahan tahun ‘"’60an dulu, iaitu  semasa aku masih di sekolah rendah, pernah aku menyaksi beberapa kali beliau bersilat dengan regunya yg bernama Mat Hasaan. Dalam kenakalan beliau bersilat, Pak San akan melambung batu bata dan ditanduk oleh Pak Sin dengan kepalanya.

Sebenarnya banyak sekali keunikan yang ada pada beliau dan memang diketahui oleh masyarakat umum, tetapi aku malas nak ceritakan di sini banyak-banyak. Teringat aku satu peristiwa yg berlaku 28 tahun yg lalu iaitu sewaktu beliau menyampaikan “Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian” kepada salah seorang budak kampung aku. Ditetaknya budak kampung aku dengan sebilah pisau menyebabkan aku lari masuk bilik kerana ngeri melihatnya. Kalau beginilah cara penyampaian ijazah di dalam acara konvokesyen di universiti sekarang ini, aku rasa habis bertaburanlah graduan-graduan  lari keluar dewan. hehehe….

 DSC02627

 

Untuk diri aku sendiri pula, banyak juga pengalaman dan pengetahuan yang aku dapat dari beliau sewaktu aku mengikuti kumpulan peteri Pak Sin dahulu, walaupun hanya sekali sekala. Apa yang aku tidak dapat lupakan sehingga ke hari ini antara aku dan Pak Sin ialah beliau orang yang pertama membawa aku bermain mak yong bertiket dgn tujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada aku. Tempatnya di kampung Kok Jerat Sg. Pinang Tumpat.  Dalam kesempatan ini juga aku boleh belajar dgn Dolah Kubang Telaga. Aku masih ingat lagi Pak Sin menamakan kumpulan mak yong tersebut dengan nama “Mak Yong Hussin Appolo” sempena dengan nama roket Apollo yang berjaya mendarat di bulan dan menjadi bahan perbualan hangat masyarakat kampung pada waktu itu.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar seorang tokoh dan penggiat yang sangat berpengalaman dan berpengatahuan dalam dunia perubatan tradisional, kebudayaan dan kesenian melayu Kelantan. Semoga rohnya di tempatkan oleh Allah bersama-sama dengan roh orang-orang yang beriman. Amin.

Penyakit Angin.

Angin yang dimaksudkan di sini ialah satu unsur yang ada di dalam setiap diri manusia untuk menentukan pembawakan peribadi sesaorang itu. Angin ini juga menentukan keenderungan dan minat sesaorang dan berbeza pula antara satu sama lain kerana angin ini dikatakan mempunyai 190 macam (Jumlah ini ialah untuk merujuk kepada banyaknya jenis2 angin). Ada yang mempunyai angin bersilat, dikirbarat, mak yong, berjoget, menyanyi dan bemacam2 lagi. Bahkan kalau ada yang suka duduk berbual di kedai kopi setiap hari pun dikira sebagai angin juga. Yang demikian jika sesaorang itu jatuh sakit atau rasa tidak tenteram, maka salah satu cara pengubatan untuk memtenteramkan anginnya atau jiwanya ialah dengan mengadakan sesuatu, sesuai dengan keenderungannya, InsyaAllah akan sembuh penyakitnya dan kembali tenteram jiwanya. Bagi orang-orang melayu di Kelantan, Trengganu dan Selatan Thailand, main peteri adalah salah satu cara pengubatan yang menggunakan kaedah psikoterapi.  Ianya masih diamalkan sehingga kehari ini, terutamanya untuk mereka-mereka yang terkena penyakit angin.

DSC00603 

  Kelihatan seorang yang mempunyai angin pendekar.

 

Berhubung dengan inilah kalau aku balik kampung atas urusan tertentu atau bercuti dua tiga hari, maka lebih baik aku berdiam diri saja, janganlah  pergi melapur diri kepada  kawan-kawan penggiat dalam permainan peteri yg masih aktif lagi. Kalu pergi jugak, alamatnya ada lah aktiviti yg diminta supaya aku ikut serta bersama mereka. Ini terjadi semasa aku pulang bercuti sempena dgn cuti persekolahan baru ini. Oleh kerana sudah lama tidak berjumpa dgn seorang penggiat dlm permainan peteri, aku telah pergi ke rumahnya untuk berjumpa mata dengannya. Kebetulan pula dia tak ada di rumah kerana bawa beruk gi naik nyor. Setelah dia balik, kami berbual agak panjang juga mengenai kegiatan main peteri, beliau meluahkan perasaan kepada ku bahawa sekarang ini sudah tidak ada lagi anak muda kampung kami yg berminat hendak belajar bermain rebab. kalau hendak main peteri maka terpaksalah kesana kemari mencari pemain rebab, tapi nasib baik juga sekarang ini zaman mudah untuk berhubung antara satu dengan lain, kalau zaman sebelum ini terpaksalah mengahabiskan masa, tambang atau minyak motor untuk berhubung dgn sesaorang pemain rebab yg lain. Itu pun kalau pemain rebab itu belum ditempah oleh orang lain, kalu tidak, terpaksalah menukarkan tarikh sesuai dengan masa kekosongan pemain rebab tersebut.

DSC02566

   Abe Nor Jaafar menjadi pemain gendang peteri pada malam tersebut.

 

Dalam perbualan antara aku dan Pak Long Awang, beliau meminta aku meluangkan masa pada malam esok kerana katanya ada main peteri hendak mengubat orang sakit yg datang dari Gua Musang. Aku telah memenuhi permintaannya kerana kami berdua sama sekampung dan sudah pun biasa main peteri dengannya sejak 25 tahu yg lalu, lagi pun aku mempunyai angin jugak, sudah lama aku tak jamu angin aku dengan kesenian ini. Yang ketiganya, aku mahu melihat setakat mana kebolehan anak-anak muda di sekitar kampung aku yg dikatakan sudah mula belajar dalam bidang kesenian ini sejak beberapa tahun kebelakangan. Sewaktu aku dan beberapa kawan2 yg sebaya denganku meninggalkan kampung hampir 40 tahun yg lalu, kamilah dianggap pelapis terakhir pada waktu itu kerana selepas itu tidak ada lagi orang muda yg ingin mewarisi kegiatan kesenian ini di kampung kami, hanya tinggal golongan orang2 tua sahaja yg masih meneruskan tradisi ini. Tp apabila aku balik sekali sekala kebelakangan ini, aku mendapat berita mengatakan ramai juga dari kalangan anak muda kampung kami  yg sudah mula belajar, bahkan sudah pun diperlimaukan.

Dekat dengan kampung aku sekarang ini telah dibina sebuah bangsal tetap yang dibiayai oleh kerajaan. Yang demikian, orang sakit boleh membuat pilihan untuk bermain peteri di mana dia suka, di rumah pesakit atau di bangsal tetap. Bisanya kalau pesakit itu orang jauh, ia akan memilih bermain di bangsal itu sahaja. Tentang bayarannya pula dibuat secara pakej, iaitu pihak Tok Teri akan menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan dan pesakit hanya datang sehelai sepinggang sahaja. Pada malam tersebut, pesakit langsung tidak ada menunjukkan tindak balas di dalam semua keadaan. Bermacam2 cara jgk Tok Teri angkat angin dia pada malam tu, tapi pesakit buat bodo je. Jadi kesimpulannya pesakit tersebut bukan dari kalangan penyakit angin. Kalu pesakit yang mempunyai penyakit angin, sudah pasti dia akan bertindak apabila beteri jiwanya sudah dicas, sekurang2nya dia akan menangis.

DSC02561

 Pesakit yang bukan dari kalangan penyakit angin.

 

Pada malam keesokannya pula, atas pelawaan Paksu Agil, aku pergi pula ke kampung Wakaf, Pasir Putih tempat bermain peteri oleh kumpulan Paksu Agil pula. Tujuan aku kesana juga ialah untuk mengenali dengan lebih dekat seorang Tok Peteri yang selama ini aku hanya mendengar namanya sahaja, iaitu Datuk Deraman Polis dan memang pun beliau adalah seorang polis. Kata Paksu Agil, orang yg nak main peteri ni penyakit angin. Setiap 3 tahun sekali dia akan main peteri utk menyegarkan anginnya. Ternyata memang benar apa yg dikatakan oleh Paksu Agil, anginnya memang kuat sungguh, pantang dengar muzik dia terus bangun dan menari dan melompat sepuas2nya sehingga jatuh terduduk kerana kepenatan.  Begitulah kelakuanya beberapa kali dan ada kalanya terpaksa dipicit dan diurut badanya utk mengelak dari sesak napas.

Abe Nor Jakpar yg duduk bersebelahan aku pada masa itu membisik ditelingaku, katanya dalam satu kejadian, ada seorang pesakit yg lebih kurang beginilah keadaannya, tidak dapat kontrol anginnya, menari dan melompat sehingga menjadi sesak napas. Pada keesokan harinya dia mendapat berita pesakit itu telah meninggal dunia. Betul juga pesanan orang-orang tua kita dahulu supaya segala tindak tanduk yang kita lakukan janganlah telampau ikut angin sangat. Lakukanlah hanya sekadar untuk pelepas angin sahaja.

DSC02585

Pesakit dengan ayam panggang ketika angin Hala sambil diperhati oleh Datuk Deraman.

 

Apabila disambut dengan lagu Hala, pesakit terus menghenjutkan tubuh mengikut rentak muzik lagu Hala yg dimainkan oleh Abe Nor Jaafar. Kadang2 pesakit menghadap kepada ayam panggang yg disediakan seolah2 seperti seekor harimau yg hendak menerkam sesuatu. Oleh kerana aku sudah biasa sangat dengan perlakuan pesakit seperti ini ketika lagu Hala dimainkan, maka perkara2 begini sudah tidak menghairankan aku lagi
.

Tetapi apa yg lebih mengahairankan aku pula ialah macam manakah ada satu rentak yg dimainkan dalam dikir barat sekarang ini dipanggil lagu Hala, sedangkan rentak tersebut langsung tidak sama dengan aku, Abe Nor Jaafar dan pemain2 gendang peteri lain mainkan?… mengapa terjadi demikian?..Adakah mereka “Pakai Sebut Sesuka Hati” tanpa merujuk kepada lagu sebenar…..Betullah apa yg diucapkan oleh Abe Nor kepada aku. Katanya “Apabila kita masuk belajar dan main sendiri, barulah kita tahu bagaimana payahnya muga ni”.

Pada malam itu bukan sahaja melibatkan pesakit seorang sahaja, tetapi  penyakit angin telah menular kepada orang luar kecik besar tua muda yang datang menonton, menyebabkan bangal peteri dipenuhi oleh orang luar yang masuk menari bersama dengan pesakit, termasuk ahli keluarga pesakit sendiri.

DSC02578

  Penonton dan orang luar yang sama-sama masuk menari kerana sudah ttijok angin.

 

Setelah pesakit sudah berpuas hati dengan acara pada malam tersebut, akhirnya ia pun dipersenangkan anginnya oleh Datuk Rahman Polis yang menjadi Tok Peteri pada malam tersebut. Main Peteri tamat lebih kurang jam 3.15 pagi. Ketika melangkah keluar kira-kira 10 meter dari bangsal untuk pulang , aku terserempak dengan seekor anak ayam mati dalam keadaan terpenyet. Sahlah anak ayam itu mati akibat dipijak oleh orang ramai yang datang menonton main peteri…kesian kat anak ayam yang menjadi mangsa penyakit angin..