Nak jadikan cerita, secara tak sengaja aku terbaca satu tulisan seorang penyelidik mak yong yang telah menemuramah seorang penggiat mak yong di Kelantan beberapa tahun yang lalu. Banyak juga bab yang menjadikan aku termenung seketika, dan salah satu bab yang menarik perhatian aku ialah tentang penafsiran perkataan ‘Bong’.
Mengikut keterangan penggiat tersebut, perkataan Bong yang terdapat dalam lirik nyanyian mengadap rebab itu adalah merujuk kepada ‘Bong tempat sabung ayam’. Aku tidak hendak menyalahkan penyelidik tersebut kerana dia hanya menulis apa yang beritahu oleh penggiat yang sudah menjadi pakar rujuk dalam hal ini, tetapi bagi aku penafsiran begini sudah jauh tersasar dari maksud yang sebenar. Persoalanya :
1. Apakah kaitan Bong sabung ayam dengan sambungan lirik seterusnya, iaitu membalik timpuh, dagang membuang sila atau pun sawa mengorak lingkaran?
2. Melihat kepada penulisan tersebut, seolah-olah penggiat itu hendak kaitkan dengan ada lirik yang menyebut ‘Seperti Denak Menanti Lawan’. Apabila denak dikaitkan dengan ayam maka sudah tentu ayam tersebut ialah ayam hutan kerana ayam hutan sahaja yang memakai denak untuk memikatnya, sedangkan ayam biasa atau ayam kampung tidak ada istilah denak pun. Tapi soalnya pernahkah orang menyabung ayam hutan di dalam Bong?.
3. Merujuk kepada perkataan ‘Bong’ itu sendiri, walaupun ejaan ‘Bong’ sabung ayam dengan ‘Bong’ membalik timpuh itu sama, tetapi dari segi bunyi sebutan nahunya dalam loghat percakapan orang Kelantan adalah berbeza sekali. Biasanya orang Kelantan akan menyebut ‘Bong’ dengan dengung yang bulat untuk ‘Bong membalik timpuh’ tetapi menyebut ‘Bong’ dengan dengung pipih untuk ‘Bong sabung ayam’.
Sebagai perbandingannya, samalah juga dengan kita menyebut perkataan ‘Gong’. Kalau menyebutnya dengan dengung yang bulat, ia membawa maksud sejenis alat muzik yang menyerupai tetawak. Tetapi jika disebut dengan dengung yang pipih, maka ia membawa maksud manusia yang kurang waras atau pun satu kawasan tanah tinggi yang dikelilingi oleh tanah rendah. Untuk menentukan maksud yang sebenar hendaklah dilihat pada susunan ayatnya pula, samalah juga dengan susunan ayat ‘Bong Membalik Timpuh’.
Rupa2nya penafsiran jenis cari makan ni dari dahulu lagi masih tak putus2..