Pendidikan Pendalangan Wayang Kelantan
by lokanbertepuk ~ September 16th, 2009. Filed under: Wayang Kulit.Oleh kerana memenuhi permintaan segelintir peminat – peminat wayang kulit Kelantan yang ingin mengetahui tatacara pendidikan pendalangan wayang kulit Kelantan pada zaman kegemilangannya dahulu, maka aku cuba sedaya mungkin untuk menceritakan perkara ini berdasarkan kepada perbualan aku dengan orang tua2 dan sumber yang ditulis oleh sahabat aku Allahyarham Dr. Jamaludin Osman berdasarkan temuramahnya dengan beberapa orang tokoh wayang kulit Kelantan iaitu Abdullah Ibrahim (Dolah Baju Merah), Hamzah Awang Amat, Jusoh Hassan (Pak soh Mokrat, Hassan Omar (Hassan Kedai Buluh), Che Mat Jusoh dan Pakda Omar (Rantau Panjang).
Sistem pendidikan untuk calon dalang mengandungi tiga tahap, iaitu tahap asas, tahap lanjutan dan upacara perlimau. Sistem ini juga ada sedikit sebanyak persamaan dengan pendidikan yang tidak formal, iaitu melibatkan dalang tiru yang meniru persembahan dalang asli atau penglibatannya di dalam kumpulan wayang kulit tetapi tidak mahu berguru.
Bagi calon dalang yang tidak mempunyai asas maka peroses pendidikan awalnya ia akan didedahkan dengan pendidikan secara latih pandang. Tahap keduanya barulah ia berguru untuk peringkat asas pendalangan. Peringkat ketiga atau peringkat lanjutan, yang mana ia akan berguru lebih dari seorang guru sebelum melalui proses perlimau. Upacara perlimau ialah upacara pengijazahan dalang untuk diiktiraf sebagai dalang asli atau dalang yang bertauliah dengan melalui proses upacara ritual yang dipanggil main wayang kulit berjamu. Tempoh persembahannya selama tiga malam dan pada malam ketiganya akan dilanjutkan hingga ke pagi keesokannya kerana upacara pengijazahan ini akan berlaku pada waktu “Silau ngenge memecah”.
ATURAN DALANG
Semasa murid di dalam proses pembelajaran, terdapat kira – kira tujuh perkara yang menjadi aturan dalang atau pun aturan panjak tujuh pengantin lima.
Aturan Berguru - bakal dalang akan dibawa oleh bapa atau wakilnya menyerah kepada guru. Dan disinilah akan berlaku perjanjian perakuan guru dan murid. Guru pula hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya kepada murid itu sehingga diperlimau.
Aturan Belajar - aturan ini menitik berat kepada disiplin murid semasa dalam proses belajar.
Aturan Pantang Larang - melibatkan pantang larang dan tata susila dalam permainan wayang kulit supaya murid bertanggung jawab terhadap kerjayanya setelah bergelar dalang.
Aturan Bermain - guru akan mengajar kaedah pergerakan wayang dan hubungannya dengan bunyi muzik, pengucapan, bahasa wayang, nyanyian dll.
Aturan Persiapan Persembahan - melibatkan proses mendiri panggung, buka panggung dan tutup panggung, peralatan ritual yang melibatkan persembahan wayang kulit biasa dan wayang kulit berjamu.
Aturan Pergelaran Dalang - seorang murid atau pun yang sudah bergelar dalang harus mematuhi aturan ini bagi memastikan tradisi permainan wayang kulit dapat dipertahankan.Ia juga dapat mengawal dan memastikan dalang2 yang terlibat dengan persembahan benar2 berkualiti. Disamping itu juga memberi peluang untuk mendalami ilmu perbomohan dan apa2 ilmu yang bersangkutan dengan persembahan teater tradisi.
Aturan Sumpah Menyimpan Rahsia dan susila - bertujuan untuk melindungi rahsia pendalangan dan tidak disalah gunakan walaupun ada diantaranya sudah termaktub di dalam aturan berguru dan aturan bermain. Aturan susila ini merujuk kepada keperibadian dalang itu sendiri di dalam kehidupannya. kadang2 kemasyhuran dan kepopularan dalang itu menyebabkan ia lupa diri, takabur, sombong dan melanggar pantang larang.
MASUK BANGSAL
Sebelum bermulanya tahap pendidikan asas secara formal, calon dalang dan orang2nya hendaklah menyediakan sebuah bangsal. Segala aturan dan pantang larang seperti pemilihan tempat, arah panggung dan lain2nya haruslah dipatuhi (pernah aku tulis didalam majalah Pentas keluaran jan – mac 2009). Proses masuk bangsal ini memerlukan masa selama 3bulan 10hari (100 hari) untuk satu pakej.
Pakej ini memfokuskan pembelajaran teori dan amali yang diselaraskan dengan jangka waktu latihan. masa latihan bermula selepas masuk waktu isya sehingga pukul 1.00pagi. Bagi guru yang tinggal sekampung atau kampung berdekatan dengan bangsal latihan akan datang mungkin setiap malam jika tidak ada apa2 halangan, tetapi jika guru tinggal jauh dari tempat latihan, beliau akan datang seminggu sekali atau dua kali. masa yang selebihnya akan diguna oleh pelajar untuk berlatih sendiri.
Semasa proses masuk bangsal selama 100 hari ini, pelajar tidak dibenarkan membuat persembahan dimana2 atau meninggal bangsal jauh2 seperti pergi membuat pekerjaan dan bermalam di tempat lain kecuali atas urusan kecemasan. Jika latihan terhenti selama dua minggu berturut2 maka hendaklah diganti supaya cukup 100 hari semula kecuali pada malam jumaata sahaja tidak dibenarkan berlatih kerana menghormati penghulu hari..
bersambung…………..
September 16th, 2009 at 6:55 pm
Apakah akibatnya jika memulakan sesuatu bab pelajaran di atas tanpa mengikut susun atur secara tradisi ini? Adakah memberi kesan kepada panjak-panjak yang terlibat.?
September 16th, 2009 at 7:53 pm
Apa yg dititik beratkan disini ialah kpd calon dalang, kerana berjaya atau tidak adalah terletak di atas usaha dan bakat calon dalang itu sendiri.
Biasanya panjak yg sama2 dalam pembelajaran tidaklah terikat sgt dengan susun atur ini kerana ada bab-bab tertentu hanya memfokuskan calon dalang dan guru sahaja. Bagaimana pun seeloknya panjak2 juga digalakkan mematuhi juga dalam aturan yang melibatkan semua demi untuk melatih diri dgn lebih berdisiplin dan mengikut tatasusila sewaktu dalam pakej pembelajaran.
September 17th, 2009 at 12:02 am
tak masuk bab pelimau lagi tuh heheh..
September 19th, 2009 at 1:39 am
Dan juga jika tidak memulakan sesuatu bab pelajaran tanpa mengikut susun atur secara tradisi, maka pada pandangan mereka2 yang tahu dlm bab ini akan merasakan bahawa perbuatan tersebut tidak mengikut aturannya. Mungkin kerana tidak biasa melihat atau tidak merujuk terlebih dahulu kepada mereka selayaknya dirujuk…
Apa yg diceritakan disini dan pada sambungan seterusnya hanya ringkasan sahaja dan tidak ada huraian yang terperinci mengenainya pada setiap bab.
September 26th, 2009 at 4:30 am
apakah yang dimaksudkan dengan ‘panjak tujuh pengantin lima’? apa yang tujuh apa yang lima?
September 27th, 2009 at 7:08 am
7 + 5 = 12.
Sbb itu ada juga yg menyebut terus dgn panggilan panjak 12. Tp kalau dalam main wayang kulit untuk upacara ritual sempena dgn upacara perlimau contohnya, jumlah panjak adalaha “Duabelas satu” kerana dicampur dengan seorang perempuan yang naik ke panggung wayang utk minta perlindungan.
Jumlah 7 ini adalah merujuk kpd 7 jenis alat muzik yg mengiringi persembahan wayang kulit iaitu serunai, geduk, gedombak, gendang, gong, canang dan kesi (7 pemain), sementara jumlah 5 ialah jumlah 3 dari alat muzik yg berpsangan iaitu geduk, gedombak dan gendang (3 pemain) dicampur dgn 2 orang pembantu dalang sebagai pengunjuk wayang.
Penafsiran yg kedua ialah:
sebuah Panggung wayang adalah lambang kpd diri manusia, di dalamnya terdapat panjak tujuh (anggota 7) dan pengantin lima (pancaindera 5). Semua ini diketuai oleh seorang dalang (hati)….dalanglah yg akan mencorak bagaimana kehendaknya didalam melakonkan sesuatu cerita.
“Sesungguhnya di dalan tubuh jasad anak Adam itu ada seketul daging, bila baik ia nescaya baiklah seluruh anggota tubuhnya, dan bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggota tubuhnya…ketahuilah iaitu qalbu (hati)”.
Hati (qalbu) dlm diri manusia ibarat dalang yng sangat ditaati oleh panjak 7 pengantin 5, membunyikan peralatan muzik atau apa2 lagu diatas arahan dan kehendak dalang. Begitulah kias ibaratnya……
Wallahualam…….
September 27th, 2009 at 11:25 pm
[jumlah panjak adalaha “Duabelas satu” kerana dicampur dengan seorang perempuan yang naik ke panggung wayang utk minta perlindungan.]
kalau tidak keberatan…siapakah perempuan ini? dari mana dia datang dan apakah terjemahan pada pancaindera kita?
September 28th, 2009 at 9:55 am
1. Perempuan tersebut namanya mak babu kalam dermi, beliau adalah tukang masak pada mlm berjamu. Beliau telah dikejar oleh Betara Kala dan lari hingga sampai ke tempat bapak dalang sedang bermain wayang. Mak babu kalam dermi meminta izin kpd bapak dalang utk naik keatas bangsal wayang utk menusut dan akhir sekali dia diizinkan naik.
Setelah Betara Kala sampai ia bertanya kpd bapak dalang adakah anak buruan dia di sini, dalang kata tak ada. Setelah bertanya macam2, akhirnya Betara Kala bertanya berapakah panjak wayang di atas panggung… bapak dalang kata panjak dia ada duabelas satu.
Soalnya mengapa bapak dalang tidak kata panjak dia ada tigabelas?…
kerana panjak yg asalnya berjumlah 12 orang, 1 orang itu bukanlah panjak yg asal tetapi disebut juga krn disitu secara berasingan untuk melindungi mak babu kalam dermi dari dimakan oleh betara kala….
Kisah penuhnya sudah saya tulis di dalam majalah Pentas keluaran oktober – disember 2008 bertajuk “Episod Sang Kala Awal”.
2. Pancaindera ini adalah berasal dari perkataan sanskerit:
Panch = lima
Indera = Inderia/deria
yang mengandungi deria pencium (hidung), deria perasa (lidah), deria peraba (sentuhan), deria penglihatan (mata) dan deria pendengaran (mata).
October 2nd, 2009 at 9:50 am
…..deria pendengaran (telinga)..
October 4th, 2009 at 10:08 am
maaf…silap
October 6th, 2009 at 7:14 am
hehe..
August 19th, 2010 at 7:45 am
boleh tak terangkan mengenai ritual yang ada dalam wayang kulit kelantan